Alam Maritim sasar nilai perolehan kontrak RM1 bilion

Alam Maritim sasar nilai perolehan kontrak RM1 bilion

Alam Maritim Resources Bhd menyasarkan nilai perolehan kontrak RM1 bilion sebelum akhir tahun ini menerusi projek antarabangsa dan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Ahmad berkata nilai perolehan kontrak yang direkodkan pada masa ini adalah RM753 juta manakala nilai kontrak yang dibida Alam Maritim pula RM1.3 bilion.

Beliau berkata kebanyakan tender kontrak yang dibida adalah bagi pemeriksaan, pembaikan dan penyenggaraan (IRM) dasar laut, kapal sokongan luar pesisir (OSV) serta pelaksanaan dan pengurusan projek pemasangan dan pembinaan luar pesisir (OIC).

“Kami berhasrat mendapatkan lebih banyak projek IRM berbanding OSV, memandangkan OSV mengalami pasaran tepu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar pendapatan Alam Maritim diperolehi daripada projek berkaitan Petronas, namun syarikat juga merancang untuk membida tender bagi projek IRM di Thailand dan Vietnam.

Alam Maritim menanggung kerugian sejak beberapa tahun lepas dan pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018, kerugian bersih meningkat kepada RM21.39 juta daripada kerugian bersih RM10.76 juta pada tempoh sama 2017.

Sementara itu, empat resolusi diluluskan dalam EGM hari ini iaitu terbitan saham bonus; terbitan nota boleh tebus dan boleh ubah (RCN); penamatan skim opsyen saham pekerja (ESOS) sedia ada serta peruntukan pilihan ESOS baharu kepada pengarah.

Terbitan RCN disasarkan dapat mengumpul RM160 juta yang akan digunakan untuk program pembaharuan kapal syarikat (RM80 juta), penyenggaraan dan penyenggaraan kapal di limbungan (RM50 juta) serta modal kerja (RM30 juta).

“Sudah sampai masanya untuk syarikat melaksanakan langkah pengumpulan dana, khususnya ketika tuntutan persekitaran, kami juga mahu mempunyai kapal yang dikuasakan gas asli cecair, memandangkan jenis ini lebih menjadi pilihan pelanggan. Kami turut merancang mengurangkan jumlah kapal daripada 39 kepada 25 kapal bagi menumpukan kapal baharu yang khusus,” katanya.

Beliau berkata dalam melangkah maju, syarikat mahu meningkatkan kadar penggunaan kapal kepada lebih 55 peratus pada 2019.

“Bagaimanapun, syarikat akan kekal mencatatkan kerugian memandangkan pendapatan hasil kontrak baharu hanya akan ditunjukkan melalui akaun tahun hadapan,” katanya.

— BERNAMA