Malaysia Dateline

Alami selesema dan demam ringan, MP Selangau positif Covid-19

Wakil rakyat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian disahkan positif Covid-19 sekali gus tidak akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata, beliau menerima keputusan itu pada malam Jumaat lalu selepas menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) mandatori tiga hari sebelum Parlimen bersidang.

“Bagaimanapun, saya hanya mengalami gejala ringan, selesema dan demam yang ringan, tapi semakin beransur pulih semalam.

“Sepatutnya saya bertolak ke Kuala Lumpur dari Kuching, hari ini untuk menghadiri sidang Parlimen esok.

“Saya juga diarah menjalani kuarantin sehingga 21 September ini,” kata Baru dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Ba’Kelalan itu juga berkata, beliau percaya vaksin yang diambilnya beberapa bulan lalu mengurangkan gejala serius sehingga perlu dimasukkan ke hospital.

“Oleh itu, saya menggesa mereka yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 supaya segera mendapatkannya untuk menyelamatkan nyawa anda,” tambahnya lagi.