Alasan adakan himpunan 8 Disember untuk tunjuk sokongan pada PM tidak tepat

Alasan adakan himpunan 8 Disember untuk tunjuk sokongan pada PM tidak tepat

Dakwaan pembangkang untuk terus mengadakan demo membantah ICERD pada 8 Disember yang akan datang adalah suatu penyalahgunaan kebebasan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri (PM).

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus ketika ditemui semasa perasmian Konvensyen AMANAH Pulau Pinang kali ke-3 hari ini.

Jelas beliau lagi, kerajaan telah pun mengadakan meja bulat dan perbincangan bagi menangani isu ini.

Justeru katanya, keputusan kerajaan tidak menandatangani apa-apa perjanjian berkaitan ICERD telah jelas dan tidak harus diadakan apa-apa bantahan oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan sedia mendengar segala permasalahan yang berkaitan isu ICERD dan telah pun mengadakan meja bulat bagi mengatasi perkara tersebut.

“Tidak apa apa-apa perkara yang ditandatangani dan dipersetujui oleh kerajaan membabitkan Icerd.

“Sehubungan itu tidak perlu lagi diadakan apa jua bantahan maupun demo oleh pembangkang sepertimana yang direncanakan,” tegasnya lagi.

Malah katanya, pembangkang cuba menyalahgunakan keizinan yang diberikan oleh Perdana Menteri dengan alasan untuk menunjukkan sokongan kepada beliau.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menzahirkan pandangan dan luahan rasa mereka.

“Namun begitu alasan untuk mengadakan demo bagi menyokong Perdana Menteri dalam situasi kini, adalah tidak tepat.

“Mengadakan demo sepertimana yang dirancang adalah tidak betul dan amat merbahaya dalam situasi sekarang,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, alasan yang diberikan oleh pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri hanyalah rekaan yang dicipta dan direka.

Sedangkan hakikatnya, ia adalah salah guna kebebasan yang diberikan dan tidak harus diteruskan.