Malaysia Dateline

Alasan baru Pas ibarat tukar fatwa ikut selera politik, kata Zahid

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tuduhan Pas terhadap Umno yang dikatakan tidak mematuhi piagam Muafakat Nasional (MN) merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik.

Menurut Zahid, seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

Zahid mempertahankan Umno yang telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun Umno bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan Pas sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan Umno untuk berpadu atas nama MN.

“Pimpinan Pas membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama Bersatu yang diketahui tujuannya menjatuhkan Umno,” kata beliau.

Zahid berkata, Umno menghormati pendirian dan hak pimpinan Pas untuk bersama PN itu kerana inilah sebuah negara demokrasi.

Malah katanya, Umno tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai.

“Tetapi ketahuilah, Umno sedari awal telah pun berada dalam sebuah kemuafakatan rakyat iaitu Barisan Nasional (BN).

“Semangat perpaduan di negara kita itu hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara tercinta.

“Hidup muafakat membawa berkat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur,” ujarnya.

Zahid turut mengingatkan rakannya muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan.

“Tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan.

“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas Umno,” kata beliau.

Justeru katanya, Umno perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.