Malaysia Dateline

Alasan Exco Terengganu seolah-olah KKM pula bersalah, kata Raja Bahrin

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah mempersoal alasan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berhubung isu pengurusan Covid-19 di Hotel Primula Beach.

Beliau menegaskan jawapan Alias bahawa pihak kerajaan negeri hanya menunggu menerima arahan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah hujah yang amat lemah.

“Kerajaan Pas dan negeri mempunyai wakil-wakil mereka sendiri dalam Lembaga Pengarah Hotel Primula yang tahu perkembangan hotel.

“Saya sendiri dihubungi oleh ayah pekerja hotel mengadu sikap pengurusan hotel.

“Jawapan Exco Kesihatan Dr Alias Razak yang mereka – kerajaan hanya menunggu dan menerima arahan dari KKM untuk menutup hotel seolah-olah KKM pula yang bersalah dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, Alias tidak patut menyalahkan pihak dari KKM iaitu dari kerajaan Pusat.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu patut bertanggungjawab atas kelemahan dan kesalahan kerajaan negeri dan hotel kepunyaannya sendiri.

“Rakyat menuntut penjelasan dan hukuman denda yang adil dan setimpal atas kesalahan melibatkan risiko nyawa pandemik Covid-19.

“Dahulu, beliau juga cuba menyalahkan Kementerian Perumahan Malaysia (KPKT) masalah perumahan di Terengganu di mana pihak beliau sendiri membuat aduan yang lambat kepada KPKT,” bidasnya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita berkenaan rintihan beberapa pekerja Hotel Primula Beach yang bimbang akan keselamatan diri serta keluarga mereka dengan ancaman penularan Covid-19.

Raja Bahrin berpendapat sikap majikan di hotel tersebut sebagai tidak bertanggungjawab ketika seramai 35 pekerja iaitu 32 peratus pekerja terbabit dijangkiti pandemik itu.

“Bagaimana kluster begitu besar yang tercetus 16 OgosĀ  tetapi hotel ditutup hanya pada 5 September iaitu selepas tempoh 21 hari?

“Mereka (Pekerja) bertanya kenapa hotel swasta lain hanya seorang dua dijangkiti Covid-19 sudah ditutup operasi sementara Primula sudah naik dari belasan sehingga 35 jangkitan ke pelbagai jabatan masih belum ditutup sehinggalah menerima aduan dari pihak luar.

“Mereka takut pulang rumah, khuatir akan menjangkiti keluarga mereka, yang mana menjadi realiti apabila sekurang-kurangnya tiga ahli keluarga di rumah dijangkiti,” jelas Raja Bahrin lagi.