Malaysia Dateline

Alasan lengahkan persidangan Parlimen tidak boleh diterima

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) menegaskan keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan Kabinet untuk memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu merupakan satu salah guna kuasa.

Menurut jawatankuasa berkenaan, tiada alasan munasabah untuk menolak memanggil segera sidang Parlimen dan usaha melengahkan persidangan sehingga September tidak boleh diterima sama sekali.

“Taktik melengah-lengahkan merupakan satu tindakan yang salah. Malah semua 220 ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima vaksin, maka tiada lagi bahaya jangkitan Covid-19.

“Usaha Kabinet untuk menolak memanggil segera sidang Parlimen adalah satu tindakan menghalang badan itu menjalankan tugas sah di dalam membincangkan perbelanjaan kerajaan berkaitan isu pandemik Covid-19, program pemulihan ekonomi dan proses vaksinasi.

“Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perdana Menteri dan Kabinet mempunyai tanggungjawab bersama terhadap Parlimen selaras prinsip akauntabiliti. Malah keengganan Kabinet memanggil sidang Parlimen dilihat merendahkan prinsip akauntabiliti terhadap Parlimen,” jelas jawatankuasa tersebut menerusi kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh William Leong (PKR-Selayang), Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang), Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Sungai Buloh), Faiz Fadzil (AMANAH-Permatang Pasir), Fadhlina Sidek (PKR) dan Dr Zulqarmain Lukman (AMANAH).

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Bahkan, pada Februari juga, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari dan dijangka berakhir pada 1 Ogos, tertakluk kepada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Walau bagaimanapun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak mempedulikan titah Seri Paduka Baginda itu.

Sehubungan itu, Jawatankuasa tersebut mengingatkan Perdana Menteri dan Kabinet perlu bersikap telus terhadap Parlimen di mana mereka tertakluk kepada soal jawab oleh wakil rakyat.

Hal ini kerana badan eksekutif itu perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di Parlimen dan dengan cara itu sahaja rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa.

“Semakin lama Parlimen digantung, semakin besar risiko wujudnya kerajaan yang tidak bertanggungjawab,” tegas kenyataan itu lagi.