Malaysia Dateline

Alasan Parlimen ditangguh kerana 100 MP berisiko dijangkiti COVID-19

Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan berkata, faktor utama sidang Parlimen ditangguhkan kerana 100 ahli Parlimen merupakan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.

“Apabila Parlimen bersidang, seorang ahli Parlimen akan bawa tiga pegawai bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” katanya dipetik Bernama.

Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putarajaya, hari ini.

Muhyiddin mengisytiharkan darurat atas alasan mengekang penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan penggantungan parlimen.

Namun Istana Negara dalam kenyataan pada 12 Jan menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.