Malaysia Dateline

Alasan tiada sidang Parlimen Takiyuddin tidak masuk akal, kata Pemuda AMANAH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap telah bertindak membunuh demokrasi apabila memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Mohd Sufian Mat Ali berkata, alasan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga sebagai tidak masuk akal.

Menurutnya, tindakan tersebut amat mendukacitakan apatah lagi Yang di-Pertuan Agong telah pun mengeluarkan kenyataan yang menzahirkan bahawa Parlimen boleh bersidang.

“Hal ini bermakna darurat bukan lagi alasan untuk menangguhkan sidang Parlimen.

“Jika sekolah, pasar malam dan panggung wayang boleh dibuka, mesej apakah yang cuba disampaikan Muhyiddin kepada rakyat dan dunia luar?

“Adakah Muhyiddin cuba untuk mentadbir negara ini mengikut kehendak hati sahaja tanpa melalui proses semak dan imbang di Parlimen?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan bahawa sidang Parlimen akan terus ditangguhkan sepanjang tempoh darurat.

Beliau berkata, keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

Katanya, keperluan Parlimen bersidang untuk membuat undang-undang juga tidak ada.

Dalam pada itu, Sufian menegaskan bahawa tindakan menutup Parlimen adalah langkah terkebelakang dan sama sekali tidak menghormati suara serta mandat rakyat.

“Adakah Muhyiddin cuba memekakkan telinga terhadap titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang?,” soalnya lagi.