Malaysia Dateline

Alat tulis anak selalu sangat hilang, inisiatif guru ini bantu ‘selamatkan’ saku ibu bapa

Ramai ibu bapa mengeluh anak sekolah rendah mereka kerap hilang alat tulis. Mahu rabak juga saku jika selalu benar beli pensel, pemadam dan pembaris baru.

Seorang guru berkongsikan caranya memanfaatkan banyak alat tulis yang setiap hari bersepah di dalam bilik darjah.

Mungkin inisiatif beliau sedikit sebanyak dapat membantu ‘menyelamatkan’ kocek ibu bapa daripada berterusan membeli alat tulis ganti untuk anak masing-masing.

“Saya beli dua bekas. Satu pensel, pemadam, pembaris. Satu lagi untuk pensel warna sahaja. Tak ada yang mengaku letak dalam bekas tu.

“Siapa tiada pensel ambil di situ saja. Harta korang jugak ‘kanagituuu,” tulis guru dikenali sebagai
Zuzu al-Attas.

Pengalaman melihat alat tulis bertaburan di atas lantai juga dikongsi Cikgu Atifah Asri.

“Setiap pagi masuk kelas, ya Allah, bertaburan atas lantai. Ditanya masing-masing tak mengaku 🤣 Dah bebel, kesian mak ayah beli, asyik hilang je 😅,” katanya.

Komentar dua guru berkenaan antara deretan komentar dalam rakaman video dikongsi Herdalia Masri dengan kapsyen, “Bila check beg sekolah anak tabika…”.

Menurutnya, dia seperti kaum ibu lain terpaksa membeli pensel, pemadam dan pembaris dalam kuantiti banyak selepas didapati hanya tinggal sekeping pembaris dalam bekas alat tulis anaknya.

“Bagi anak bawa pergi sekolah yang utama saja. Tak payah banyak-banyak.

“Ok siap. Tutup terus masuk beg. Tengok balik sekolah nanti apa jadi pulak,” tulis Herdalia lagi.

Rata-rata reaksi warganet terutama golongan ibu kemudiannya juga mengakui mengalami masalah sama.

“Samalah anak saya pun. Pemadam elok sempurna masa pergi sekolah. Bila balik sekolah… lahhh.. dah cacat pemadam dia. Besar tahi hidung saja tinggal,” ujarnya.