Malaysia Dateline

Albayt Travel mahu Sajad minta maaf secara terbuka

Pihak Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang mengurus umrah usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat bertindak membuat satu laporan polis hari ini.

Menurut laporan polis itu, pihak pengurusan syarikat itu telah mengarahkan mutawif yang bertugas untuk memberi arahan kepada Sajat dan ahli kumpulannya agar segera menghentikan penyebaran imej dan juga video kontroversi ibadah umrah dalam mana-mana saluran media sosial.

 Malah, syarikat itu turut menasihatkan agar Sajad membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kejadian yang berlaku.

“Mutawif memberitahu saya bahawa Sajat ingin mendiamkan diri kerana tidak mahu memudaratkan lagi keadaan,” kata pemilik syarikat itu yang bernama Sofwan seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.

Laporan polis itu dibuat ekoran terdapat ancaman daripada luar kepada pihak pengurusan dan ahli keluarga mereka.

 Menurut Sofwan, langkah itu diambil kerana dikhuatiri boleh memberi kesan negatif kepada pihak keluarga kerana mereka tidak langsung terlibat dalam isu yang berlaku.

Albayt Travel dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi berkata, pihaknya juga sudah merujuk insiden Nur Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung itu kepada pihak Konsolat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan di mana syarikat itu dipercayai beroperasi.

Kumpulan umrah khas oleh keluarga Sajad dan rakan perniagaannya itu disertai sembilan orang iaitu tujuh dewasa dan dua kanak-kanak bersama seorang Mutawwif bermula 28 Januari lalu hingga 7 Februari ini.

Ketika di Mekah, Sajad bertindak memakai telekung yang dikhususkan kepada wanita dan melakukan ibadah umrah di sana bersama dua rakannya.

Dalam perkembangan sama Berita Harian pula melaporkan susulan kontroversi usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial, Albayt Travel telah membawa keluar Sajad dan kumpulannya dari Meka. Mereka kini berada di Madinah.