Malaysia Dateline

Alhamdulillah, kerajaan negeri sambung balik elaun RM200 untuk penarik beca

Alhamdulillah, kini elaun bantuan bulanan untuk pengayuh beca di Kuala Terengganu diperolehi semula selepas nasib mereka dilaporkan oleh Malaysia Dateline hasil usaha Pengerusi AMANAH Terengganu.

Selepas ia terpinggir sekian lama, pengayuh beca di Kuala Terengganu mendapat kembali elaun RM200 sebulan yang pernah diterima mereka sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit.

Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan.

“Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka.

“Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut.

“Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya,” katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, semalam.

Sebelum ini, jurukamera Malaysia Dateline dari Kuala Lumpur, WAN ZAHARI SALLEH turun ke Kuala Terengganu bagi melaporkan nasib pengaruh beca, kenderaan pengangkutan tradisi Terengganu itu.

Raja Bahrin berbincang dengan penarik beca di Kuala Terengganu ketika meninjau nasib mereka yang terbiar sebelum ini.

Ini berikutan nasib mereka yang tidak dihiraukan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas termasuk tidak memberikan lagi elaun RM200 sebulan yang diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah turut turun bersama meninjau nasib mereka.

Sebaik sahaja dilaporkan, bekas MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terus menghantar wakilnya memberikan bantuan berupa bakul makanan dan sedikit wang tunai untuk mereka.

Beberapa hari lepas, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim pula turun membantu mereka.

Semalam, tiba pula kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan turun membantu mereka.

Penarik beca antara pihak yang paling terkesan dengan PKP Penuh yang dikenakan oleh kerajaan apabila tidak ada lagi penumpang yang menggunakan khidmat mereka.