Malaysia Dateline

Alhamdulillah, selepas ujian kedua, saya negatif Covid-19, kata Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad memaklumkan, ujian kedua Covid-19 ke atas beliau mendapati beliau negatif wabak itu.

“Kelmarin (8 Oktober) hari ke-14 saya pulang dari Sabah, saya telah menjalani ujian Covid-19 untuk kali kedua atas pilihan sendiri bagi memastikan saya bebas dari Covid-19.

“Hasil keputusan ujian kedua saya yang diterima pada hari ini adalah negatif,” kata Khalid menerusi facebook beliau malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub juga memaklumkan, ujian Covid-19 yang dijalan oleh Hospital Tawakal ke atas beliau juga negatif.

Menurut Khalid, beliau telah berada di Kota Kinabalu, Sabah mulai 21 hingga 24 September 2020.

Namun, pihak kerajaan mewajibkan ujian Covid 19 dan kuarantin kendiri sehingga menerima keputusan ujian bagi mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 September, tiga hari selepas beliau pulang.

“Oleh itu saya tidak melakukan ujian Covid 19 atau kuarantin kerana saya pulang dari Sabah pada 24 September 2020.

“Namun demikian pada 29 September 2020, pihak Selangor Task Force Covid-19 (STFC) telah menasihatkan supaya mereka yang pulang dari Sabah bermula 20 September 2020 menjalani ujian Covid-19.

“Oleh itu saya telah mula mengurangkan pergerakan saya,” kata Khalid.

Seterusnya, katanya, beliau telah menjalani ujian Covid 19 pada Khamis, 1 Oktober 2020 di PPUM.

“Setelah menjalani ujian tersebut saya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut SOP sebaik mungkin.

“Alhamdulillah ujian Covid-19 yang saya jalani pada 1hb Oktober adalah negatif. Namun demikian saya terus mengurangkan pergerakan dan terus mematuhi peraturan yang ada,” katanya.

Semalam, katanya, adalah hari ke-15 beliau pulang dari Sabah dan “Alhamdulillah keadaan kesihatan saya adalah baik.”

CARA MKN KENDALI KUARANTIN SABAH

Bagi Khalid, cara Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengendalikan isu kuarantin setelah pulang dari Sabah sangat mengelirukan.

“Ia telah menyebabkan banyak kekeliruan berlaku kepada orang ramai dan ini sangat tidak wajar berlaku,” katanya kesal dengan kekeliruan arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh MKN.

“Saya mendoakan agar semua yang dijangkiti Covid-19 akan segera sembuh.

“Saya juga berharap kita semua dapat sama-sama patuh pada arahan dan nasihat KKP dan mudah2an negara kita akn selamat dari Covid-19 segera,” katanya.