Malaysia Dateline

Alhamdulillah usaha PH diteruskan PN, kata Khalid

Pada Januari 2019, Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan berjaya memperkenal tema baharu bagi menggambarkan usaha warga Wilayah Persekutuan membentuk suasana peduli, sihat dan selamat.

Kementerian yang diterajui Khalid Samad ketika itu telah menyusun atur gerak kerja warganya dengan memperkenalkan Skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) di mana beberapa individu yang berkelayakan Diploma atau SPM dilantik untuk pelbagai jawatan.

Dalam satu siri Twitternya hari ini, Khalid berkata usaha Pakatan Harapan memperkenal tema ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan pada Januari tahun lalu, akhirnya diteruskan kerajaan Perikatan Nasional.

“Alhamdulillah usaha yang dimulakan dulu atas tema ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ iaitu Skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) diteruskan oleh DBKL.

“Hanya ditukar nama tema kepada ‘Wilayah Prihatin’.

“Semoga diperbanyakkan skim sepertinya lebih-lebih lagi dalam suasana Covid,” katanya yang mengulas hantaran Facebook Tan Sri Annuar Musa tiga hari lalu.

Terdahulu, Annuar Musa berkata, seramai 141 orang PSH dilantik dan mula bertugas melaksanakan kontrak selama setahun.

“Kami di KWP berharap sebanyak 500 PSH akan ditawarkan untuk diisi di pelbagai jabatan (perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan) di DBKL.

“Ini adalah salah satu agenda Wilayah Prihatin yang kita perkenalkan untuk membantu dan meringankan beban golongan terkesan akibat COVID-19,” katanya