Malaysia Dateline

Ali Biju jadi calon Bebas lawan GPS

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Ali Biju turun bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Malaysia akan ditentang Friday Belik daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu ) dan Danny Kuan Sam Sui (Parti Bumi Kenyalang).

Sebelum ini, Ali Biju yang juga Ahli Parlimen Saratok yang ‘melompat’ ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada Parti Keadilan Rakyat telah menafikan bahawa telah bersetuju untuk memberi laluan dengan menyerahkan kerusi DUN Krian kepada Parti Demokratik Progresif (PDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.

Proses penamaan calon di PRN Sarawak, Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas

Katanya, sebagai penyandang kerusi DUN Krian sejak 2011 dan sehingga kini, beliau tidak pernah bersetuju untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada PDP seperti yang telah dinyatakan oleh Friday Belik baru-baru ini.

“Friday tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata sedemikian atau mengulas sama ada saya akan mempertahankan jawatan saya atau melepaskannya kerana beliau bukan pemimpin dalam GPS dan tidak mempunyai sebarang hak untuk bercakap bagi pihak GPS atau Ketua Menteri.

“Malah, penyokong dan sebahagian besar pengundi saya telah menegaskan bahawa saya diperlukan untuk terus berkhidmat untuk mereka dan seluruh kawasan Krian sekali gus mempertahankan kerusi saya.

“Dan sebarang keputusan mengenai saya untuk terus mempertahankan kerusi DUN Krian hanya akan dibincangkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” tegas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Saratok.

Bagaimanapun, Abang Johari telah pun mengumumkan Friday Belik sebagai calon GPS dari PDP untuk bertanding di kerusi DUN Krian.