Ali Hamsa perlu jelaskan lantik pegawai jadi KSU walau terlibat rasuah

Ali Hamsa perlu jelaskan lantik pegawai jadi KSU walau terlibat rasuah

Tan Sri Dr Ali Hamsa

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, adalah tidak wajar seorang penjawat awam yang terkait dengan rasuah walaupun masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) diberikan kenaikan pangkat dalam perkhidmatannya.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa diminta memberikan penjelasan sebelum bagi penghargaan dan kenaikkan pangkat kepada mana-mana pegawai Perkhidmatan Awam di negara ini di masa akan datang.

SPRM telah mengintip Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman selama tiga bulan sebelum bertindak menahannya Rabu lalu.

“Apa yang menghairankan saya ialah bagaimana beliau boleh dinaikan pangkat dalam keadaan beliau sudah pun terlibat dengan pengambilan rasuah semenjak tahun 2010?.

“Apakah sistem saringan dalaman perkhidmatan awam begitu lemah sehingga tiada penapisan terhadap pegawai bermasalah?

“Berdasarkan tangkapan yang dibuat ia menunjukkan SPRM telah lama ‘menghidu’ kegiatan rasuah KSU tersebut.

“Bagi saya ini menunjukan sistem kenaikan pangkat dan pemilihan calon untuk kenaikan pangkat perkhidmatan awam kanan dibuat secara yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Mahfuz OmarMahfuz berkata, kenaikan pangkat perkhidmatan awam berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)  pula di bawah pengawalan Jabatan Perdana Menteri yang anggotanya dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

Justeru ujarnya, apa yang berlaku kepada kenaikan pangkat KSU KKLW yang kini ditahan dan disiasat oleh SPRM adalah suatu yang sangat memalukan.

“Amat memalukan apabila seorang yang berjawatan tinggi dikatakan berkelayakkan,berpengalaman dan berkredibiliti menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

“Persoalan yang berbangkit sekarang ialah SPRM mendakwa penglibatan KSU tersebut dengan perbuatan rasuah semenjak tahun 2010 dimana secara tidak langsung menunjukkan ‘amalan rasuah’KSU ini berlaku sebelum beliau dilantik sebagai KSU KKLW,” ujarnya.

Perlantikan Mohd Arif sebagai KSU merupakan kenaikan pangkat dari jawatan yang beliau pernah disandang sebelum ini sebagai Timbalan KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya,Pegawai Daerah Sepang,KSU Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan terakhir sebagai KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bermula 16 Oktober 2015.

“Suatu yang mengejutkan negara tentang sektor Perkhidmatan Awam bila mana SPRM menahan seorang pegawai tinggi kerajaan iaitu KSU KKLW yang menyertai perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun bermula dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981, kemudiannnya dikatakan terlibat dengan rasuah sejak tahun 2010 sedangkan beliau menjawat jawatan sebagai KSU KKLW pada bulan Oktober tahun 2015

“Apakah yang telah Dr Ali Hamsa lakukan terhadap cadangan kenaikan pangkat terhadap Datuk Mohd Arif dari jawatan Pegawai Kewangan Negeri kepada TKSU sehingga ke jawatan KSU.

“Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan mengumumkan perlantikan Datuk Mohd Arif sebagai KSU KKLW pada 16 Okt 2015 menyatakan yang beliau mempunyai kelayakan,pengalaman dan kredibiliti.

“Sedangkan menjadi harapan 30 juta orang rakyat Malaysia agar Datuk Mohd Arif dihukum dengan setimpalnya atas kesalahan yang sudah lama beliau lakukan serta menyebabkan kerugian besar kepada negara dan rakyat.

“Perbuatan rasuah bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama Islam serta nilai-nilai dan tatasusila murni kemanusiaan, tetapi ia juga boleh menjejaskan imej negara dan integriti Perkhidmatan Awam.

“Rasuah dapat dihindarkan jika seseorang itu sentiasa berpegang kepada ajaran agama dan moral serta nilai-nilai murni kemanusiaan, di samping melaksanakan tugas dan” tanggungjawab masing-masing dengan cekap, jujur dan amanah serta tulus ikhlas semata-mata kerana Allah SWT”,” ujarnya.

Mohd Arif bersama dua anaknya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan KSU yang berumur 59 tahun itu bermula semalam sehingga 11 Januari.

COMMENTS

Wordpress (0)