Malaysia Dateline

Ali harap penjawat awam bertugas dedikasi kepada kerajaan semasa

Tan Sri Dr Ali Hamsa (gambar kiri) menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini selepas enam tahun memegang jawatan itu sejak 2012.

Beliau yang digantikan oleh Datuk Seri Dr Ismail Bakar, kelihatan ceria ketika bersalaman dengan ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua perkhidmatan dan warga Jabatan Perdana Menteri di Perdana Putra, di sini.

Ali yang mengimbas kad perakam waktu buat kali terakhir di pejabatnya pada 5.15 petang tadi, turut bergurau senda dengan beberapa pegawai yang dianggap sebagai anak muridnya.

Terdahulu, Ali mempengerusikan mesyuarat khas ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan yang merupakan mesyuarat terakhirnya sebagai KSN.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan nota serah terima tugas kepada Ismail yang disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Ali dalam kenyataan hari ini berharap penjawat awam meneruskan khidmat berlandaskan kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, serta sentiasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi kepada kerajaan semasa.

Menurutnya, dedikasi dan integriti perkhidmatan awam adalah penting.

“Kami sentiasa menjalankan amanah sebaiknya dalam mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Ini dibuktikan melalui beberapa siri tindakan yang telah diambil sebelum ini terhadap usaha-usaha untuk menjejaskan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh anggota jemaah menteri yang telah bersama-sama berganding bahu dalam meletakkan institusi pentadbiran negara ke tahap lebih tinggi.

Ali juga menyatakan penghargaan kepada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin dan seluruh anggotanya atas nasihat dan pandangan yang diberikan dalam memastikan tadbir urus kerajaan di landasan terbaik

“Terima kasih juga kepada seluruh anggota perkhidmatan awam atas kerjasama dan sokongan dalam memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Ali turut mengucapkan tahniah kepada Ismail atas pelantikannya sebagai KSN yang ke-14 dan berharap penggantinya itu dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan meneruskan rekod cemerlang Pejabat KSN.