Malaysia Dateline

Ali Puteh kerja jual ayam bukan mahu bayar kos kalah saman dengan kakak ipar

Pelawak, Ali Puteh, 34, berkata, alasan dia menceburkan diri ke dunia perniagaan bukanlah untuk membayar sejumlah kos kepada kakak iparnya seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Tetapi sebaliknya dia berkata, dia menceburkan diri dalam dunia perniagaan pembekalan ayam mentah kerana baru sahaja menjalin usahasama sebagai duta untuk jenama Red Grocer.

“Saya baru sahaja menjalin usahasama sebagai duta untuk jenama Red Grocer. Dalam masa yang sama turut menggalas tugas sebagai rakan kongsi.javascript:false

“Saya tahu, akan ada yang cakap kini mula berniaga sebab nak bayar duit itu tetapi bila fikir-fikir semula, netizen memang akan sentiasa bercakap pun.

“Saya memilih untuk senyum sahaja berkata terima kasih. Saya nak fokus pada kerja dan perniagaan ini saja. Saya tak kerja untuk bayar duit itu, tidak ada kaitan. Fokus berniaga ini lebih kepada fardu kifayah,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ali berkata tindakannya mengorak langkah dalam dunia perniagaan itu bukanlah penamat dalam kerjaya seninya.

“Saya ini berpegang kepada pendirian untuk terus maju ke depan dalam apa sahaja yang saya lakukan. Begitu juga bila sebut tentang industri. Berniaga bukan bermakna saya akan mematikan kerja-kerja seni saya.

“Jika masih diberi peluang untuk bermain di gelanggang seni, saya akan bermain. Saya dengan Mamak pun tak pernah membubarkan kumpulan Puteh.

“Hal ini sudah dibincangkan awal-awal. Kalau membabitkan kerja-kerja untuk Kumpulan Puteh, kami akan bergerak sama. Kalau untuk kerjaya solo, masing-masing akan menghormati jalan masing-masing,” katanya.

Pada 18 Februari 2022, balu kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang kes saman fitnah dan Ali Puteh diperintah membayar ganti rugi RM60,000 kepada bekas kakak iparnya.