“Kambing kena kerja juga” – Aliff Syukri minta haiwan peliharaan ‘review’ jeruk mangga

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Aliff Syukri sering kali berhasil mencuri tumpuan masyarakat Malaysia dengan tingkah laku yang cukup menghiburkan terutama ketika mempromosikan produk keluarannya.

Umum mengetahui bahawa ahli perniagaan kosmetik itu kini sedang sibuk menjual jeruk mangga ‘kering’ keluaran terbaharunya yang diperbuat daripada buah jenis Harum Manis menerusi platform TikTok.

Namun perkara yang menarik tumpuan ramai terhadap barang jualannya adalah kaedah pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman terbabit mempromosikan jeruk mangga berkenaan.

Terbaharu, usahawan berusia 38 tahun itu memanfaatkan kehadiran haiwan peliharaannya untuk mempromosikan produk tersebut seperti yang dapat dilihat menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.

Dalam rakaman berdurasi 58 saat tersebut, kelihatan Aliff sedang menyuapkan sekeping jeruk mangga itu kepada binatang peliharaannya yang merupakan seekor kambing diberikan nama Tasya.

Usahawan itu kemudian secara berseloroh meminta Tasya untuk memberikan ‘review’ ataupun ulasan secara jujur berhubung rasa jeruk mangga berkenaan sama ada enak untuk dimakan mahupun sebaliknya.

“Tasya makan jeruk viral Papa. Jeruk pertama di Malaysia yang diperbuat daripada mangga jenis Harum Manis. Kita tengok Tasya suka ataupun tidak. Tanya Tasya sedap tak? Jujur Tasya! Cakap jujur memang sedap,” kata Aliff dalam rakaman itu.

@papalarisofficial

Tasya pun jujur dengan papa korang, di sukai jeruk mangga papa, stock limited nak beli tekan bag kuning

♬ [Animals and dishes] Cute BGM – Sound Owl

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih mencecah 300,000 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terhibur dengan gelagat Aliff.

Ramai juga pengguna berkongsi pendapat bahawa tiada penghuni di kediaman mewah milik Aliff Syukri itu bebas daripada tugas mempromosikan produknya termasuklah haiwan peliharaan selain keluarga dan pembantu rumah.

“Kambing juga sudah tidak selamat. Kena kerja jugalah,” kata salah seorang pengguna yang terhibur menonton video promosi dikongsikan oleh anak kepada usahawan terkenal iaitu Rozita Ibrahim itu.

“Siapa yang duduk di rumah Papa, tidak akan terlepas dari tugas menjual. Jangan pula lepas ini, ikan besar Papa di dalam kolam itu juga kena berniaga.” Seloroh pengguna lain berkongsi komen mencuit hati.

Baca juga: Dulu ratu cantik, sekarang jual kuali dalam ‘live’ demi sara 2 anak