Malaysia Dateline

Aliff Syukri ‘terlajak’ kalis PKP?

Orang ramai mempersoal bagaimana usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri seolah-olah kalis daripada tindakan undang-undang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa.

Penyanyi lagu “Abang Nak Tegur”  itu memuatnaik gambar dan video bersama anak-anak dan ibunya di Janda Baik dalam akaun Instagram (IG) miliknya.

“PM (Perdana Menteri) kata satu kereta hanya seorang. Bagaimana dia (Aliff Syukri) bawa punya ramai, lepas tu bangga tunjuk di IG, berulang-alik dari Janda Baik, Pahang ke Kuala Lumpur bersama anak-anak.

“Rakyat marhaen persoal, mengapa Aliff Syukri kalis tindakan undang-undang,” kata pengguna Facebook Adam Tuan Mukhriz.

Aliff Syukri dalam satu gambar yang dikongsikan di IG memberitahu kegembiraannya menjamu selera bersama keluarga dalam suasana desa.

“Hari ini saya amat gambira sebab saya boleh makan sekeluarga dengan anak-anak saya masakan kampung dan suasana kampung,” katanya semalam.

Turut disertakan sedutan video Aliff meminta ibunya yang juga ahli perniagaan, Rozita Ibrahim merasa puding labu yang dimasaknya.

Aliff sebelum ini mengundang kritikan orang ramai apabila memberitahu permohonannya untuk Bantuan Prihatian Nasional (BPN) tidak diluluskan.

Dakwanya, usahawan PKS sepertinya turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang dianggapnya lebih teruk berbanding kegawatan ekonomi pada 1997.