Mahkamah mengeluarkan perintah reman ke atas pasangan personaliti media sosial, Alif Teega dan Aisyah Hijanah bagi membantu siasatan atas dakwaan salah guna kuasa.
Perintah reman selama empat hari itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sejurus prosiding sebutan reman pada hari Khamis itu selesai, pasangan berkenaan tampak tenang ketika keluar dari mahkamah masuk ke dalam kenderaan dipercayai menuju ke ibu pejabat SPRM, lapor Mstar.
Menurut peguam yang mewakili Aliff dan Aisyah iaitu Abdul Rahim Ali, pasangan itu bukanlah disiasat berhubung dakwaan menyeleweng kutipan derma seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Reman dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM iaitu salah guna kuasa. Kalau tanya saya, ia bukanlah fasal penyelewengan wang,” kata Abdul Rahim memetik laporan Mstar.
Seksyen itu menyentuh kes membabitkan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu bagi melakukan suatu kesalahan.
Oleh yang demikian, pihak peguam tampil membuat bantahan kerana dakwaan tidak kena dengan seksyen dimohon oleh SPRM berikutan Aliff dan Aisyah tidak bergelar penjawat awam.
Turut menerima perintah tahanan reman bersama pasangan berkenaan adalah dua lelaki dipercayai daripada pihak pengendali platform kutipan derma di dalam talian.
Terdahulu, Alif dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pada pukul 9.20 pagi bersama pihak SPRM untuk mendapatkan permohonan reman.
Pemilik nama sebenar Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, itu juga sempat memaklumkan dirinya kini berada dalam keadaan sihat dan memohon doa orang ramai agar urusan mereka dipermudahkan.
Sebelum ini, pasangan terbabit dengan tegas menafikan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam penyelewengan kutipan derma orang ramai mencecah jutaan ringgit selain mahu mengheret pemfitnah ke mahkamah.
Aliff dan Aisyah juga didakwa mengambil komisen daripada kutipan derma dengan peratusan yang tinggi manakala kehidupan mewah dinikmati pasangan berkenaan turut menjadi topik perbincangan.
Baca juga: “Asalkan keutamaan dia anak-anak” – Shuib akui tak cemburu isteri lagi popular