Malaysia Dateline

Aliran keluar dana asing sejak 2018, jangan pelabur asing terus ‘lari’

Datuk Seri Najib Razak berpendapat wujud keadaan yang janggal apabila berita mengenai ketibaan vaksin Covid-19 di negara ini gagal menarik perhatian pelabur asing minggu lalu.

Beliau memetik laporan The Edge Markets dan menegaskan Bursa Saham juga turun pagi ini iaitu selepas berita vaksin selamat sampai ke Malaysia semalam.

“Tak serupa dengan hampir semua negara dalam dunia, berita negara kita menerima vaksin Covid-19 gagal menarik perhatian pelabur asing minggu lepas.

“Ini janggal sebab trend yang sama tidak berlaku di negara-negara lain di mana penerimaan vaksin menjadi pemangkin bagi rally kenaikan dalam pasaran saham.

“Sebaliknya, pelabur asing teruskan trend menarik dana mereka dari Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

Najib yang sedang berdepan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan sejumlah wang berbilion itu berkata, pelabur asing telah mengeluarkan RM1.22 bilion dari Malaysia sejak bermulanya tahun ini.

“Tahun 2020, tarik hampir RM24.7 bilion. Tahun 2019, hampir RM14 bilion keluar.

“Tahun 2018 selepas PRU-14, dana RM13 bilion lari. Tahun 2017 pula, dana asing RM10.4 bilion masuk ke Malaysia,” jelasnya.

Sehubungan itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerajaan perlu menangani trend jumlah pelaburan baharu dalam Bursa Malaysia dari kategori runcit iaitu orang biasa jauh melebihi pelaburan dari institusi pelaburan tempatan dan pelabur asing.

Beliau berkata, trend berbahaya yang diperhatikannya sejak tahun lalu itu harus menyelesaikannya sebelum membawa parah besar bagi rakyat.

“Biasanya, daya bertahan pelabur sektor runcit adalah terhad berbanding institusi tempatan dan pelabur asing.

“Dikhuatiri juga bahawa pembeli runcit lebih bergantung pada fasiliti pembiayaan Margin Saham dan pinjaman bank,” ujarnya.

Sehubungan itu, Najib berkata terdapat keperluan untuk kerajaan memantau supaya negara mengelak berulangnya kisah pada 1997 dan1998.

Beliau berkata, rakyat biasa terperangkap dan menjadi mangsa terbesar apabila bursa saham menjunam pada ketika institusi tempatan dan pelabur asing enggan membeli.

“Harap rakyat akan berhati-hati dan memilih kaunter saham yang lebih selamat dan berasaskan kekuatan sebenar,” pesannya.

Dalam masa sama, Najib berharap kerajaan juga boleh memainkan peranan dengan memulihkan kepercayaan pelabur asing memandangkan negara sudah menghadapi aliran keluar dana asing bagi tiga tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

“Jangan tahun 2021 menjadi tahun keempat,” tambah suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu lagi.