Malaysia Dateline

Aliran penumpang KLIA, klia2 dijangka meningkat pada Disember

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan aliran pergerakan penumpang di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2  meningkat masing-masing sebanyak 12 peratus dan 21 peratus pada bulan ini yang juga tempoh kemuncak perjalanan udara.

Malah, pengendali lapangan terbang itu mengunjurkan sebanyak 6.9 juta penumpang menggunakan KLIA bagi tempoh cuti sekolah serta musim perayaan Krismas.

Tempoh kemuncak di terminal utama KLIA itu yang dijangka berterusan sehingga 23 Dis, 2018, adalah berikutan langkah syarikat penerbangan menambah jadual penerbangan, kata MAHB dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MAHB, tempoh kemuncak perjalanan di klia akan berkekalan sehingga akhir bulan ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata sejajar dengan peningkatan aliran penumpang yang ketara, pihaknya akan mengambil langkah tambahan dengan menumpukan aspek keperluan dan kemudahan penumpang.

Ini termasuk kawasan sisi jalan, kaunter daftar masuk, ruang pemeriksaan keselamatan sebelum memasuki pesawat, sistem pertukaran terminal, troli dan kemudahan serta ruang tuntutan bagasi, katanya.

“Semua aspek ini akan diawasi bagi memastikan tahap perkhidmatan di tahap optimum manakala kesesakan dapat diminimumkan,” katanya.

Sebanyak 194 penerbangan tambahan telah dijadualkan bagi memenuhi keperluan penumpang destinasi antarabangsa dan domestik sepanjang cuti panjang yang juga serentak dengan musim umrah.

— BERNAMA