“Allah cabut nyawa tak kira masa dan tempat”, ‘repost’ terakhir Nidza Afham jadi tumpuan

Oleh WAN SITI AMINAH

Misteri kehilangan penyanyi, Nidza Afham pada Selasa lalu terungkai apabila mayat seorang lelaki ditemukan di Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai,Taman Telok Pulai Indah berhampiran jambatan Sungai Klang pada malam Rabu.

Ahli keluarga kemudian mengesahkan bahawa jasad tersebut sememangnya milik Nidza Afham berdasarkan wajah dan baju yang dipakai oleh penyanyi berkenaan sebelum dilaporkan hilang.

Susulan khabar kematiannya menjadi pengetahuan umum, akaun media sosial Nidza iaitu TikTok mula menjadi topik perbincangan hangat terutama di kalangan pengguna media sosial tempatan.

Mana tidaknya, abang kepada penyanyi Aufahanie itu bertindak mengulang siar atau ‘repost’ satu perkongsian video yang berlatarbelakangkan ceramah mengenai kematian menerusi akaun miliknya.

Ceramah daripada pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim itu adalah berkisarkan mengenai ajal seseorang yang boleh diambil Allah tanpa mengira masa ataupun tempat.

“Kadang-kadang Allah cabut nyawa kita tak kira masa dan tempat. Balik kerja naik motor, hujan. Elok dah nak masuk simpang depan, motor lain langgar dari belakang jatuh tergolek tengah jalan. Kereta lain pula mai lenyek, Allah,” kata Ustaz Kazim.

Difahamkan, perkongsian itu diulang siar oleh arwah Nidza sekitar tiga hari sebelum dilaporkan hilang selepas keluar berjoging seorang diri di Stadium Sultan Suleiman, Klang.

Tinjauan mendapati perkongsian yang berjaya meraih sebanyak 1.4 juta tontonan itu dibanjiri dengan ucapan takziah orang ramai kepada pemilik nama sebenar Muhammad Nidza Afham Mokhtar itu.

Terdahulu, penyanyi yang berusia 23 tahun itu dilaporkan hilang selepas keluar joging kira-kira pada pukul 7.45 petang kelmarin sebelum dompet dan telefon bimbit miliknya ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.

Adiknya, Afrina Hanie Mokhtar berkata bahawa pihak polis mempercayai kehilangan Nidza mungkin memiliki kaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai di dalam dompet tersebut.

Baca juga: B40 selera kondo, penghuni flat selamba ‘extend’ rumah jadi tiga tingkat, siap tambah balkoni mewah