Malaysia Dateline

‘Allahuakbar saya menangis, gigil satu badan lihat suami hampir dihempap lori simen’

“Allahuakhbar gigil satu badan dapat video ini, nangis depan suami,” ucap Noor Nazrah selepas tular rakaman papan pemuka (dashcam) yang menunjukkan bagaimana suaminya sendiri hampir dihempap sebuah lori simen semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.33 pagi itu, lelaki terbabit yang menunggang motosikal seorang diri hampir dihempap lori simen yang tiba-tiba terbalik sehingga menumpahkan sebahagian simen di dalamnya.

Lelaki tersebut bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu, mangsa dilihat sempat mengelak dan hanya terkena sipi bahagian lori terbabit.

“Allahuakhbar gigil satu badan dapat video ini, nangis depan suami…teresak-esak cakap Allah sayang kita..Allah bagi peluang pada kita.. Allahuakhbar maafkan saya sayang…saya selalu buat salah pada awak.

“Yang bawak motor tu suami saya, Alhamdulillah Allah Maha Baik Allah bagi peluang pada kami semua. Lemah semangat tengok video ini. Terus panas badan macam nak demam

“Hargailah orang yang kita sayang, sebab cinta di dunia sekejap sangat sebenarnya..terima kasih pada Allah bagi peluang untuk kami perbaiki diri,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini mengesahkan kejadian kemalangan terbabit.

“Kira-kira jam 11.17 pagi semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima satu laporan kemalangan jalan raya di Persiaran Pulau Lumut membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori membawa muatan simen (buyung) sedang bergerak masuk susur sebelah kiri dari arah Persiaran Mokhtar Dahari hilang kawalan dan terbabas masuk ke haluan bertentangan disebabkan keadaan jalan susur yang sedikit menurun.

“Akibat kejadian ini, lori terbabit terbalik dan bahagian belakang lori terkena sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan,” katanya.

Baca juga: Tak sokong kumpulan Islam ekstrim, Zul Huzaimy mohon maaf atas ucapan berbaur perkauman

Baca juga: Sokong Anwar, PH wajah Malaysia yang kita impikan