Allahyarham Hj Samuri tokoh senyap penyatu rakyat pelbagai bangsa

Allahyarham Hj Samuri tokoh senyap penyatu rakyat pelbagai bangsa

Pemergian Pengasas Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi akibat kanser hati, memberi kesan mendalam kepada pekerjanya yang menyifatkan Allahyarham sebagai sentiasa merendah diri dan umpama bapa yang penyayang.

Penolong Pengurus Operasi Sate Kajang Hj Samuri, Yusnizam Mohd Naguib, 40, yang sudah 15 tahun berkhidmat dengan Allahyarham, berkata beliau amat memahami kehendak pekerja di semua peringkat dan sentiasa memberi ruang untuk mendengar masalah mereka.

“Memang dia seorang yang amat mementingkan pekerja. Cara dia menyelesaikan masalah tidak memberikan tekanan kepada kami malah memberi kami motivasi untuk bekerja. Allahyarham akan beri jalan penyelesaian yang baik.

“Dia sentiasa bersikap terbuka dan sangat ‘particular’ masalah pekerja, tidak kira sama ada pekerja kedai mahu pun ‘cleaner’. Pekerja boleh hubunginya terus pada bila-bila masa. Setiap masalah pekerja akan dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan dan mencari penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yusnizam turut berkongsi rahsia kejayaan perniagaan yang berusia 25 tahun itu bukan sekadar kepada keenakan dan kualiti sate yang disajikan, malah kebijaksanaan Allahyarham dalam mentadbir urus perniagaannya sehingga menjadi peneraju dalam bidang perniagaan sate secara komersial.

Yusnizam berkata beliau juga kagum dengan pemikiran Allahyarham yang berani membuat perubahan bagi mengembangkan empayar sate Kajang yang sudah terkenal bukan sahaja di daerah itu malah di seluruh negara.

{loadposition myposition}

Antara kejayaan yang dicipta oleh Sate Kajang Hj Samuri adalah membekalkan 70,000 cucuk sate semasa pelancaran fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai lepas.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Kamarul Abdul Karim, 40, berkata bapa saudaranya itu seorang yang disenangi ramai namun masih bersikap tegas dalam menguruskan perniagaannya.

Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Allahyarham berkata Samuri juga seorang yang berhati mulia kerana sikapnya yang gemar membantu mereka yang dalam kesusahan.

Laman sosial Facebook turut dibanjiri ucapan takziah berikutan kepulangan Allahyarham ke Rahmatullah, dizahirkan pelbagai bangsa yang menyifatkan Allahyarham Samuri, 73, seorang ikon dalam bidang perniagaan dan berharap pewaris Allahyarham Samuri akan meneruskan legasi kegemilangan Sate Kajang Hj Samuri.

Seorang pengguna Facebook, Amir Zarith menulis di Facebooknya : “Sebut saja Satay Samuri…pasti yang jauh dan dekat pernah merasa keenakan kuah dan sataynya… harga juga berbaloi… tinggalkan nama yang tidak asing bagi penggemar satay… semoga generasi Allahyarham meneruskan legasi satay Samuri dengan layanan terbaik. Takziah untuk keluarganya.

Aaron Arunasalam pula menulis : “R.i.p hj. Samuri. Moga tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan takziah kepada keluarga beliau… awal bulan lepas macam 8 Ogos, saya, ibu dan rakannya dari UK pergi ke restoran Sate Hj Samuri in Kajang… sate yang terbaik di dunia… orang Tamil kata ‘kaipakkuvam’ bermaksud dimasak dengan penuh berpengalaman sehinggakan rasa sesebuah hidangan itu menjadi trademark.

Verra Febrina Adrie menulis: “Innalillhiwainailahirajiun… Makan kat kedai belum pernah, tapi tiap kali terbang dengan Malaysia Airlines memang akan disuguhkan (dihidangkan) dengan sate yang gebu, juicy lemak dan sedap dari haji Samuri ni…

Tulis Magdline Rangkang pula: “Arwah merupakan ikon yang menyatukan rakyat Malaysia walau tanpa disedari.”

Alan Ng menulis: “Al Fatihah dan takziah kepada keluarga beliau. Sate terbaik pernah saya makan. Beliau ketua yang melayan pekerjanya dengan baik. RIP. Hj Samuri sangat terkenal dan mendapat sanjungan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum juga seorang ketua yang merendah diri.”

Rozian Saini Gyan pula menulis: “Suatu tempat yang menyatupadukan kita semua sebagai rakyat Malaysia sebenar tanpa mengira kaum. Takziah.”

CATEGORIES