Allahyarham Muhammad Ali ikon korporat Bumiputera

Allahyarham Muhammad Ali ikon korporat Bumiputera

Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim diiktiraf sebagai ikon korporat Bumiputera yang cemerlang lantaran rekodnya menerajui Johor Corporation (JCorp) selama 28 tahun mulai tahun 1982.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pihaknya amat sedih atas pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat kanser sekitar jam 3.30 petang semalam.

“Pencapaian JCorp hingga berjaya memiliki 280 anak syarikat bernilai RM14 bilion, antaranya KFC Holding Malaysia  Bhd dan QSR Brands Bhd yang mempunyai rangkaian restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India.

“KPJ Healthcare, sebuah lagi anak syarikat JCorp yang mempunyai hospital pakar di 25 cawangan seluruh negara. Ia jenama gah, yang setanding dengan pusat perubatan pakar lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Allahyarham merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), institusi waqaf korporat pertama ditubuhkan di Malaysia yang mempunyai aset lebih RM800 juta.

“Beberapa buku yang ditulisnya, antaranya ‘Strategi Jihad Bisnes’, adalah gambaran idea dan pemikiran segar yang kemudiannya diterjemahkan berdasarkan usaha dan pengalamannya yang sama dilihat kejayaannya, hingga kini.

“Terlalu banyak untuk diperkatakan insan istimewa bernama Ali Hashim ini. Lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya ini, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2007,” jelasnya.

Muhammad Ali meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara selepas lebih dua bulan dimasukkan ke hospital berkenaan kerana kanser.

Beliau yang mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Jenazah tokoh yang dikenali sebagai pelopor wakaf korporat dan komited melaksanakan program pembangunan keusahawanan bumiputera itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 9.30 malam tadi.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anak bersama rakyat Malaysia khususnya masyarakat Johor tentu sekali terasa kehilangan Allahyarham yang sukar dicari ganti.

“Takziah buat balu dan keluarganya. Moga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tambahnya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 9.0