Allahyarham Samuri selamat dikebumikan

Allahyarham Samuri selamat dikebumikan

Pengasas Sate Kajang Datuk Samuri Juraimi, 73 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam pada jam 9.30 pagi tadi selepas diuruskan di Masjid Al Falah, hari ini.

Allahyarham meninggal pada tengah malam tadi pada jam 12.06 disebabkan mengalami masalah barah hati.

Allahyarham  dilahirkan pada 25 Julai 1944 di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor mula bergiat dalam bidang perniagaan sate sejak zaman persekolahan lagi.

Allahyarham kemudian mewarisi perniagaan sate daripada bapa saudaranya, Haji Tasmin dan mula menjual sate secara kecil-kecilan sejak tahun 1992 selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi pada tahun 1987.

Allahyarham Samuri  meninggalkan seorang balu, Datin Hajjah Jani Mohamad Amir dan lima anak iaitu Norsham, Sofian, Nur Ilyana, Shafeq dan Nurul Aqilah.

Samuri adalah pengasas syarikat Sate Kajang Hj Samuri & Anak-Anak Enterprise Sdn Bhd sejak tahun 2000.

Kini Sate Kajang Hj Samuri mempunyai 20 buah rantaian cawangan yang beroperasi sekitar Kajang, Lembah Klang, Putrajaya dan beberapa cawangan di Negeri Sembilan.

Sate Kajang Hj Samuri juga merupakan pembekal sate utama kepada beberapa rangkaian hotel dan kafe terkemuka di Kuala Lumpur.