Malaysia Dateline

Allahyarham Zaki antara sahabat Pas yang terus berhubung, kata Husam

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa merakamkan rasa terharu di atas pemergian bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, 52 di Hospital King Abdul Aziz Makkah semalam.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan antara sahabatnya dari Pas yang terus berhubung dengannya sekali pun mereka sudah berlainan parti.

“Beliau mengekalkan ukhwah fillah sebagai adik beradik seagama. Beliau antara sahabat saya dari Pas yang terus berhubung sekali pun kami sudah berlainan parti.

“Kali terakhir beliau berhubung dengan saya adalah sepuluh hari yang lalu.

“Atas indahnya pertemuan beliau dengan Rabnya, di bulan Ramadan, di Tanah Haram, pada Jumaat terakhir menjelang malam 27 Ramadhan yang berkat, saya merakamkan rasa terharu saya, sekali gus bersyukur atas pemilihan Allah yang mulia.Al Fatihah buat mu, sahabat,” tulis Husam di Facebooknya.

Sementara itu, penulis Mohd Sayuti Omar mendapat perkhabaran pemergian Allahyarham melalui rakannya Razali Yaakob yang mengikuti umrah bersama.

“Razali mengutip perkhabaran duka itu dari grup whatsapp jemaah umrah yang disertai Zaki, dimana berita dukacita itu dihantar oleh isteri Zaki.

“Inalilah dan takziah. Sama-sama kita mendoakan semoga segala urusan pengembumian Allahyarham di bumi penuh keberkatan itu dipermudahkan Allah taala. Catatan belesungkawa akan saya siapkan dan dikirimkan ke blog Merah Tinta,” katanya.

Mohd Zaki meninggal dunia pada pukul 2.45 petang waktu Arab Saudi (3.32 petang waktu Malaysia) di Hospital King Abdul Aziz, Makkah semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Alami (PEKA), Azhar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan isteri Allahyarham, Raihan Yusof bahawa Mohd Zaki berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut akibat komplikasi kencing manis.

Menurut Azhar, Allahyarham yang juga Presiden PEKA mengerjakan umrah bersama isteri dan empat anak sejak seminggu lalu dan dijangka pulang 2 Syawal nanti.

Katanya, Allahyarham dikatakan tiba-tiba demam beberapa minit sebelum berbuka puasa malam kelmarin dan diberikan ubat, namun dikhabarkan muntah sebelum tidak sedarkan diri.

Azhar berkata sepanjang berada di Mekah, Allahyarham berkerusi roda kerana kakinya sakit dan berkemungkinan ia disebabkan berlaku jangkitan kuman di kaki.

Allahyarham menjadi ADUN Kelaboran selama tiga penggal, yang mana pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Hanapi Wan Yaacob dengan kelebihan 2,103 undi.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat zohor di Mekkah.