Malaysia Dateline

Almarhum Ahmad Lutfi: Penulis yang amat kental dan berprinsip – Siri 3

Ada seseorang menghantar mesej ini kepada saya berkenaan almarhum Ahmad Lutfi “Ahmad Lutfi Othman bukan orang biasa-biasa”.

Baiklah, kita sambung ya cerita tentang almarhum Ahmad Lutfi. Selepas penerbitan akhbar tidak berkala “Haraki” yang menyaksikan kakitangan almarhum di Penerbitan Pemuda – yang dimiliki oleh arwah Lutfi bagi menerbitkan akhbar “haraki” dan banyak lagi akhbar yang tidak berkala.

Pada masa itu, arwah merasakan oleh sebab KDN begitu rakus mengganggu para penulis seperti arwah dan penerbitan mereka, maka insan seperti arwah mendapat ilham berdasarkan satu pekeliling yang dikeluarkan oleh KDN sendiri yang antara lain menyatakan “penerbitan akhbar yang tidak berkala tidak memerlukan permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.”

Sebab itu arwah dengan kreativitinya mengambil peluang dari “loophole” dalam pekeliling KDN tersebut untuk menerbitkan akhbar yang tidak berkala.

Setiap akhbar hanya diterbitkan sekali sahaja agar tidak termasuk dalam kategori akhbar berkala yang perlu mendapat permit. Itu yang arwah mula terbit banyak akhbar yang tidak berkala dengan pelbagai jenama yang sering bertukar-tukar.

Dalam kes akhbar “Haraki” itu ,Arwah Lutfi minta saya bawa perhatian mahkamah kepada pekeliling KDN tersebut. Saya akur.

Nampak KDN macam “rasa terpukul” apabila saya panggil arwah Ahmad Lutfi sebagai saksi kami dan kemukakan pekeliling itu sebagai eksibit barang kes pihak pembela.

Kewujudan pekeliling KDN bagi KDN itu ibarat pepatah Arab ini:

من حفر حفرة لأخيه وقع اليها

“Sesiapa yang menggali lubang untuk saudaranya nescaya mereka sendiri akan terjatuh ke dalamnya!”.

Walaupun saudara Ahmad Lutfi dan team arwah terlepas daripada ujian mahkamah dalam kes akhbar “Haraki” itu, tetapi arwah masih terus diburu oleh kes mahkamah.

Semasa memagang jawatan Ketua Pengarang Harakah, sekitar tahun 2011, arwah – yang masa itu sudah mula makin uzur dan bertongkat – perlu menghadapi sekali lagi ujian mahkamah yang melibatkan kes menghina mahkamah atau “contempt of court” yang difailkan oleh pihak Syabas ke atas beliau dan seorang yang lain.

Kes itu ada kaitan dengan isu permohonan pihak Syabas untuk menaikkan kadar tarif air dan Kerajaan Negeri Selangor pula tidak bersetuju dengan permohonan pihak Syabas.

Saya akan cerita lebih lanjut tentang kes itu dalam siri akan datang.