Malaysia Dateline

Almarhum Ahmad Lutfi: Penulis yang amat kental dan berprinsip – Siri 4

Seperti yang saya katakan sebelum ini, pihak Syabas telah memfailkan permohonan untuk memasukkan arwah Ahmad Lutfi dan seorang peguam wanita ke dalam penjara atas alasan dakwaan menghina mahkamah (contempt of court).

Dalam undang-undang, perintah untuk masukkan seseorang itu ke penjara dipanggil perintah komital.

Secara ringkas, Syabas telah memohon kerajaan negeri Selangor untuk menaikkan tarif air di negeri itu. Namun, kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan tersebut. Maka Syabas telah menyaman kerajaan Selangor bagi isu tarif air itu. Kerajaan Selangor diwakili oleh peguam wanita tersebut iaitu isteri kepada mantan YB Balik Pulau, saudara Yusmadi.

Isteri Yusmadi, Puan Fahdah telah memberikan taklimat tertutup tentang isu tersebut pada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan taklimat itu kemudiannya dilaporkan di akhbar Harakah. Arwah Lutfi adalah editor Harakah pada masa itu.

Syabas mendakwa berita yang disiarkan di Harakah itu mengandungi unsur “sub judice” kerana dikatakan menyentuh kes yang sedang difailkan oleh Syabas ke atas kerajaan negeri Selangor. Lalu Syabas memfailkan permohonan notis usul menghina mahkamah ke atas Puan Fahdah dan arwah Ahmad Lutfi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tan Sri Tommy Thomas yang juga kawan rapat saya mewakili Puan Fahdah dan saya pula diminta oleh arwah untuk mewakili beliau. Saya walak.

Pada masa itu, tahap kesihatan arwah Ahmad Lutfi hakikatnya sudah semakin uzur tetapi beliau masih gagah hadir ke mahkamah walaupun dengan bantuan tongkat. Seperti biasa, pejuang hebat seperti arwah tetap tenang dan sentiasa mengukir senyuman.

Alhamdulillah, permohonan pihak Syabas ditolak oleh mahkamah.

Alhamdulillah, arwah terselamat daripada hukuman penjara.

Apabila Syabas memfailkan rayuan di mahkamah rayuan, sekali lagi Syabas kalah. Tan Sri Tommy Thomas dan saya sekali mewakili Puan Fahdah dan arwah Ahmad Lutfi di mahkamah rayuan di Putrajaya.

Adakah arwah Ahmad Lutfi telah selamat sepenuhnya daripada ujian mahkamah selepas dua kes sebelum ini? Jawabnya, tidak selamat lagi.

Ada satu lagi kes dia disaman atas tuduhan kes fitnah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang oleh mantan Ketua Wanita PKR yang tinggal di Pulau Pinang.

Sekali lagi arwah minta saya mewakili beliau dan sekali lagi saya walak.