Almarhum Ahmad Lutfi: Penulis yang amat kental dan berprinsip – Siri akhir

Oleh KIM SYAZIE

Kes mahkamah ketiga yang saya diminta oleh arwah Ahmad Lutfi untuk saya wakili beliau adalah kes saman fitnah yang difailkan oleh seorang mantan pemimpin wanita PKR yang tinggal di Pulau Pinang.

Pemimpin wanita PKR itu telah memfailkan saman beliau ke atas beberapa individu termasuk pemimpin PKR dan almarhum Ahmad Lutfi dan yang lain.

Saya mewakili arwah dan beberapa pihak yang lain yang ada kaitan dengan media rasmi Pas iaitu Harakah. Kes ada kaitan dengan kenyataan pemimpin wanita PKR itu mengenai YB Pandan ketika itu iaitu Kak Wan.

Maka, saya kena turun ke Pulau Pinang. Tak ada masalah sebab saya biasa mewakili Yb Kota Raja dan juga YB Shah Alam di sana. Sudah tentu yang paling regular adalah YB Kota Raja.

Pada masa itu, keadaan arwah memang benar-benar lemah dan uzur. Seingat saya arwah tidak pernah hadir dalam perbicaraan di mahkanah tinggi Pulau Pinang walaupun sekali. Saya hadir bersama peguam pembantu saya iaitu Puan Azhana.

Kes itu didengar di hadapan seorang hakim senior berbangsa india bernama Datuk Varugesh, jika tidak silap saya. He was a very nice judge.

Ketika Dr Syed Azman disaman kes fitnah oleh mantan MB Trengganu dan kalah di mahkamah tinggi KL, saya mewakili Dr Syed di mahkamah rayuan. Antara salah seorang hakimnya adalah hakim tersebut.

Alhamdulillah Dr Syed menang di mahkamah rayuan. Alhamdulillah meskipun arwah Ahmad Lutfi tidak pernah hadir ke mahkamah di Pulau Pinang bagi kes itu, tuntutan saman fitnah ke atas arwah dan semua anak guam saya dari akhbar harakah ditolak oleh mahkamah.

Ya, arwah menang sekali lagi. Jujurnya, saya tak sangka dan tak terfikir sama sekali akan menang. Mungkin a pure luck atau tuah arwah barangkali.

Begitulah serba sedikit pengalaman saya menjadi peguam arwah. Bila difikirkan semula, saya rasa bersyukur sangat dapat diberi peluang oleh Allah swt untuk mewakili insan sehebat arwah.

Dari sudut lain pula, saya juga banyak menimba ilmu menulis dari arwah walaupun sudah tentu saya bukan sahaja tidak berbakat dalam menulis malahan a lousy writer. Saya setakat minat sahaja.

Dalam keadan begitu, saya pernah dihubungi oleh arwah yang mahukan saya menulis kata pengantar pada sebuah buku karangan beliau.

Saya awalnya menolak dan berkata pada arwah “sheikh, biar betul enta ni. Ana tak layak lah nak tulis kata pengantar kat buku karya penulis besar macam enta ni. Maaf lutfi, terus terang ana tak layak sheikh. Sungguh ni. Please lah cari orang lain!”.

Oleh kerana desakan yang berterusan dan atas dasar persahabatan yang erat antara kami berdua, saya akhirnya akur secara paksa. Jujurnya saya malu sebab saya anggap beliau seorang penulis besar sedangkan saya sekadar seorang jebon.

Apabila saya dan kawan- kawan saya yang digelar ‘jebon’ dan ‘munafik haraki’ oleh puak-puak suci menubuhkan Parti AMANAH, arwah juga akhirnya join kami.

Dan arwah telah menerbitkan sebuah buku yang mengandungi koleksi tulisan kami semua tentang sejarah penubuhan AMANAH. Arwah telah menghubungi saya dan meminta saya sumbangkan sebuah artikel tentang isu itu. Saya jarang menolak jika arwah yang minta.

Ada beberapa kali arwah menghubungi saya dan meminta saya berjumpa beliau di rumah untuk bersembang-sembang. Saya akur cuma saya terlalu kesian melihat keadaan beliau yang begitu uzur dan sebolehnya tidak mahu mengganggu beliau.

Yang peliknya arwah tetap bersemangat dan lebih bersemangat dari orang yang tak sakit.

Bila arwah dimasukkan ke hospital, saya dan kawan-kawan pada masa tu sudah jadi menteri dan timbalan menteri, kami tetap menziarahi arwah.

Arwah beritahu saya habis satu hospital kecoh macam mana menteri dan timbalan menteri boleh ziarah arwah tanpa protokol. Pihak hospital hairan apa istimewanya arwah Ahmad Lutfi?

Hospital kehairanan dan kami hairan juga. “Awat besaq sangat menteri dan timbalan menteri ni?” saya berbisik dalam hati.

Akhirnya mudah-mudahan Allah swt mengampuni segala kesalahan dan dosa arwah dan merahmati ruh arwah dan menempatkan almarhum di jannatul firdaus yang paling tinggi… ameen ameen ya Rabbal ‘Alamin.