Malaysia Dateline

Tajudin Abdul Majid

Almarhum Nik Aziz akan terus jadi pedoman ahli AMANAH

Amalan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus dijadikan pedoman bagi para penyokong dan pendukung AMANAH.

Ketua AMANAH kawasan Kuala Krai, Ustaz Tajudin Abdul Majid berkata asas-asas kukuh yang telah ditinggalkan almarhum tetap akan diteruskan.

“Dalam konteks politik negara ini telah jelas siapa yang patut dibuat kawan dan siapa patut dimusuhi.

“Tiada guna kita begitu alim menghuraikan pelbagai bidang agama termasuk hal-hal tasawuf tapi tiba-tiba cenderung bersama Umno,” katanya berucap merasmikan penubuhan Angkatan Wanita AMANAH (Awan) kawasan hari ini.

Beliau mengingatkan ahli dan penyokong AMANAH tentang pentingnya menetapkan iman dan takwa sebagai tapak segala gerak kerja.

“Seperti yang selalu kita dengar janji al-Quran yang menyebut sekiranya penduduk sebuah negeri beriman dan bertaqwa nescaya Allah akan bukakan untuk mereka berkat dari atas (langit) dan dari bawah (bumi).

“Sebab itu jika jadikan dua asas ini untuk menggerakkan kerja-kerja parti insya Allah urusan kita akan diberi kemudahan.

Beliau juga menarik perhatian hadirin mengenai ketakutan berlaku kemiskinan jika menyertai kerja-kerja perjuangan.

“Al-Quran telah memberi amaran tentang syaitan yang sentiasa membisikkan janji kefakiran kepada mereka yang menyertai perjuangan.

“Mereka yang cuba berdiri bersama kebenaran akan sentiasa diwas-waskan dengan hasutan ini.

“Jangan kita terjebak, teruskan usaha tingkat kerja bersama organisasi, in sya Allah rezeki tetap tersedia,” katanya.

Pada mesyuarat penubuhan Awan kawasan itu, ketua penaja, Rosmah Abdullah dikekalkan sebagai ketua Awan kawasan Kuala Krai.