Penyanyi rap, Altimet bakal mencuba nasib untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang bakal diadakan pada 12 Ogos depan.
Difahamkan, Altimet akan menjadi taruhan parti Pakatan Harapan (PH) untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Selangor.
Menzahirkan rasa syukur, pelantun lagu Hoi Ya Hoi (Aduh Malaysia) yang juga Ketua Cabang PKR Ampang itu mengaku terharu dengan pencalonan tersebut.
Lebih 13 tahun bermastautin di Ampang, Altimet akan berusaha berjuang sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan pimpinan parti terhadapnya.
Walaupun tiada pengalaman, Altimet sempat menjadi penyelaras di pusat khidmat DUN Lembah Jaya selama sembilan bulan sebelum DUN dibubarkan.
Penglibatan sebagai penyelaras telah memberi peluang kepada penyanyi itu untuk memahami gerak kerja DUN dan mengenali penduduk Lembah Jaya.
“Saya rasa Alhamdulillah, diberikan tugas oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini sebagai penyelaras di sana (DUN Lembah Jaya).
“Ini memberikan peluang (untuk) saya mengenali gerak kerja seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mengenali orang (pengundi) di sana.
“Saya mahu lahirkan kawasan yang mesra kepada (semua) lapisan masyarakat dan umur di DUN itu,” ulas penyanyi yang berusia 43 tahun itu memetik Kosmo!.
Pencalonan itu diumumkan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada majlis pengumuman calon parti di Padang MBSA, semalam.
Altimet dicalonkan sebagai pengganti penyandangnya, Haniza Mohamed Talha yang sebelum ini meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Untuk rekod, pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman itu menyertai PKR pada April tahun lalu bersama rakan artis, Afdlin Shauki.
Baca juga: “Zikir, istighfar pun tak boleh lawan bisikan dalam kepala”, Janna Nick penat dengan otak sendiri