Altimet dedah berapa gaji yang diterimanya jadi ADUN di Selangor

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi rap yang juga ADUN Lembah Jaya, Altimet mendedahkan di podcast berapa jumlah gaji yang diterimanya sebagai wakil rakyat.

Pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad itu berkata, dia menerima keseluruhan gaji termasuk insentif dan elaun berjumlah lebih RM16,000.

Menurut Altimet, kiraan gaji wakil rakyat di Selangor merupakan antara ketiga tertinggi dalam negara namun ia bergantung kepada jawatan dipegang seseorang individu.

Perkara itu dikongsikannya dalam sesi temu bual ‘podcast’ bersama pelawak popular, Shuib dan Shuk Sahar malam tadi.

“Di Selangor ya, kalau campur basic, elaun semuanya boleh dapat bersih RM16,000.

“Tak salah saya lah, ‘top 3’ di Malaysia kalau untuk gaji di peringkat dewan negeri, ADUN Selangor antara yang tertinggi,” katanya ketika menjawab soal Shuk berkenaan gaji sebagai ADUN.

Mengenai insentif atau keistimewaan khas kepada ADUN, Altimet berkata mereka tidak mempunyai keistimewaan luar biasa kerana mereka sama seperti kakitangan kerajaan yang lain.

“Macam kakitangan kerajaan yang lain juga, kami ada kemudahan untuk buat pinjaman bagi membeli rumah dan kereta,” katanya lagi.

Tambahnya, setiap wakil rakyat juga diberikan peruntukan serta elaun pemandu peribadi sebagai kemudahan ketika bekerja.

“Sebahagian daripada elaun yang kami terima ada peruntukan untuk pemandu peribadi dan ia wajib digunakan.

“Elaun itu disediakan untuk memudahkan kerja dan jangan sampai tak ada pemandu kalau tak bos akan tanya nanti,” ujarnya.

Baca juga: “Nak beli ikan pun kena keluar duit sendiri, puncanya sebab mulut kakak ipar, nasib baik aku dah cerai..”