Malaysia Dateline

Amalan demokrasi berparlimen tumbang apabila parlimen digantung, kata MPN

Majlis Profesor Negara (MPN) berpandangan bahawa apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dan operasi institusi Parlimen digantung maka secara otomatik sistem pemerintahan Malaysia yang berteraskan amalan demokrasi berpilihan raya dan berparlimen telah tumbang serta merta.

Dalam satu kenyataan MPN berkata demokrasi berparlimen tumbang menyebabkan Kabinet Kerajaan tidak lagi boleh berfungsi secara sah seperti biasa.

“Ini kerana Kabinet Kerajaan yang demokratik hanya boleh wujud dan bergerak secara sah ketika Parlimen boleh bersidang dan beroperasi secara sah, dan tidak digantung oleh Proklamasi Darurat.

Pada hakikatnya, MPN berkata Proklamasi Darurat adalah pemaksaan kuasa pemerintahan secara totalitarian dan bercirikan tirani yang sangat berbahaya.

“Dunia sedang dan akan terus memerhatikan tingkah laku pemerintahan Malaysia dengan teliti dan curiga.

“Apabila Proklamasi Darurat diisytihar dan dikuatkuasakan dengan menggantung fungsi Parlimen, tetapi membenarkan Kabinet Kerajaan terus beroperasi seperti biasa, maka ini adalah satu paradoks dan anomali yang bercanggah dengan prinsip demokrasi, punca kuasa dan kuatkuasa yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan itu, satu krisis Perlembagaan yang serius telah pun tercetus. Krisis ini akan menjadi lebih parah lagi jika Perdana Menteri yang sedia ada, yang ternyata telah kehilangan sokongan majoroti dalam Parlimen, dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bebas Darurat 2021 kelak,” katanya.

Sekali gus katanya, ini menjadikan orang yang sama, iaitu orang yang tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen, masih memimpin Kabinet yang sepatutnya sudah terbubar, dan mempengerusikan satu “Kabinet Darurat” berlandaskan Proklamasi Darurat tersebut.

“Kewenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Proklamasi Darurat 2021 ini diperkenankan juga boleh dipersoalkan keabsahannya.

“Ini kerana ketika Tan Sri Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau telah pun tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.

“Ini melahirkan suasana di mana sebuah kerajaan yang tidak sah dan telah kehilangan sokongan, kini sedang menggunakan kuasa pemerintahan darurat yang diproklamasikan secara tidak sah.

“Ini bermakna, Malaysia tidak lagi mempunyai sistem pemerintahan yang menghormati kedaulatan undang-undang secara jujur dan sah,” ujar MPN.

Jelas MPN, penularan wabak COVID-19 memang dapat ditangani menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Akta ini boleh dipinda bagi tujuan menangani penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih berkesan. Oleh itu, Pengisytiharan Proklamasi Darurat 2021 ini sesungguhnya tidak perlu persembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan,” katanya.

Bagi MPN, Proklamasi Darurat 2021 ini adalah tidak sesuai diisytiharkan ketika ekonomi Negara berada pada tahap penguncupan yang sangat membimbangkan bukan saja akibat daripada penularan wabak COVID-19, tetapi juga ekoran kehilangan keyakinan para usahawan tempatan dan para pelabur antarabangsa terhadap iklim ekonomi serta kestabilan politik dan sistem pemerintahan Malaysia.

Justeru, MPN merafak sembah memohon Yang di-Pertuan Agung perkenan menerima beberapa orang wakil MPN untuk datang menghadap dan mempersembahkan pandangan para ilmuwan daripada sudut perlembagaan dan perundang-undangan, ekonomi dan perdagangan, politik, demokrasi dan sistem pemerintahan, pendidikan dan pengajian tinggi, dan prinsip maqasyid syariah, dengan tujuan membantu proses pemulihan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.

Pucuk pimpinan MPN telah mengadakan perbincangan berkaitan dengan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada selasa, 12 Januari 2021 yang lalu.