Malaysia Dateline

Amalkan baca al-Quran, jangan tinggalkan – Ini pesan Pak Su Mid Kuala Nerang

Amalkan baca al-Quran dan jadikan kalam Allah SWT sebagai pegangan hidup. Itu pesan ulama terkenal Kedah, Allahyarham Pak Su Mid Kuala Nerang, 96, kepada sesiapa pun yang menziarahinya sebelum ini.

Anak keduanya, Pirdaus Abdul Hamid, 41, berkata, nasihat sering diberikan Allahyarham adalah seiring dengan amalannya sendiri yang sentiasa membaca al-Quran dan berpuasa.

“Apabila orang datang ziarah, ayah paling banyak memberi nasihat supaya amalkan membaca al-Quran.

“Ada juga yang datang membawa al-Quran. Ayah memberi amalan ayat suci al-Quran dan mereka mencatatnya.

“Kepada anak-anak dan siapa pun yang datang, ayah sentiasa nasihat serta berpesan supaya jangan meninggalkan al-Quran. Kalam Allah SWT adalah paling tinggi,” dipetik BH.

Allahyarham Tuan Guru Pak Su Mid iaitu pemilik kepada nama sebenar Syeikh Abdul Hamid Ismail meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Alor Setar kira-kira jam 6 petang semalam, dipercayai akibat sakit tua.

Sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah putus menerima kunjungan orang ramai ketika hayatnya, termasuk pemimpin negara yang datang menziarahi beliau untuk mendapatkan nasihat.

Allahyarham dikenali dengan kata-kata hikmah dan penuh kiasan dalam memberi nasihat.

Mengulas lanjut, Pirdaus berkata, malah ketika sakit pun, Allahyarham tetap dengan al-Quran.

“Walaupun tidak boleh membaca ketika itu, ayah selalu meminta pasangkan rakaman ayat suci al-Quran.

“Al-Quran sudah sebati dengan ayah,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang, lapor BH.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham selepas kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.

“Ayah memang sudah memberi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu tetapi kami ahli keluarga berikhtiar juga untuk menghantarnya ke hospital.

“Namun sudah tiba masanya, kami reda,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun.

Terdahulu, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi van jenazah yang membawa Allahyarham ke Masjid An-Najah Ayer Hitam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat berumur 60-an, tiga anak dan 10 cucu.

Baca juga Ulama terkenal Kedah Pak Su Mid kembali kepada penciptaNya-Pesanan, nasihat beliau menjadi buah mulut netizen

Baca juga Nasib abang bomba pandai pujuk, lelaki tak jadi terjun bumbung rumah