Amalkan konsep bermesyuarah untuk perkukuhkan AMANAH dan PH

Amalkan konsep bermesyuarah untuk perkukuhkan AMANAH dan PH

Presiden Parti AMANAH, Haji Mohamad Sabu menyeru ahli parti supaya berazam menjelmakan Islam rahmat untuk semua.

Kata beliau, sekarang kita bukan lagi bercakap sebagai pembangkang tetapi kini sudah jadi pemerintah.

Sehubungan itu katanya, sekarang kita kita kena laksanakan Rahmatan Lila’lamin yang pernah kita cakap-cakapkan sebelum ini.

Barisan kepimpinan AMANAH Selangor bersama Presiden Haji Mohamad Sabu.

“Orang ingin melihat. Apakah Islam yang kita tonjolkan itu rahmat untuk semua. Atau pun ia berlaku seperti di Timur Tengah,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor Kali Ke-3 di Subang Jaya hari ini.

Jelas beliau, akhlak Islam kini telah terpisah daripada orang Islam dan orang Islam berada paling bawah dalam peradaban dunia hari ini.

Katanya lagi, orang Islam berbunuhan di negara-negara umat Islam dan negera orang Islam adalah pengesport pelarian yang paling ramai di dunia.

Dalam konteks inilah kata Mohamad, AMANAH perlu menyerlahkan Islam sebenar itu.

Beliau menyeru supaya AMANAH terus menonjolkan soal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam masyarakat dan menentang ketidakadilan.

Menteri Pertahanan itu juga mengingatkan ahli parti supaya mengambil iktibar tentang pentingnya konsep bermesyuarat dalam menyelesaikan masalah sama ada untuk parti tetapi juga untuk Pakatan Harapan (PH).

Beliau tidak mahu perkara seperti itu berulang sebagaimana sewaktu bersama Pas, yang mengakibatkan berlakunya perpecahan parti.

Sebahagian mereka yang hadir di Konvensyen AMANAH Selangor Kali Ke-3 di Subang Jaya hari ini.

“Nak berunding dengan sesiapa sekali pun dibolehkan tetapi bawa ke dalam mesyuarat.

“Kalau nak terima parti baharu dalam PH, bincang dalam mesyuarat,” kata beliau.

Setakat ini katanya lagi, konsep bermesyuarat diamalkan dengan baik dalam PH dan semua perkara berkaitan telah dirundingkan sebaiknya serta semua yang terlibat telah memberikan buah fikiran.

Dari sudut politk Malaysia, kata Mohamad Sabu, perlu difahami bahawa untuk memperolehi kuasa pemerintahan, sesebuah parti itu perlu bergabung dan bersama pakatan.

“Bergerak seorang diri tidak akan kuat,” katanya.

Jelasnya, bayangkan kalau AMANAH bergerak sendirian, Dewan Undangan Negeri manakah manakan yang boleh dikuasai oleh AMANAH?

Tetapi kini, AMANAH telah menjadi kerajaan kerana kita bersama PKR, DAP dan Bersatu, katanya dan menyifatkan keputusan yang dibuat AMANAH adalah tepat.