AMANAH 3 tahun tapi perjuangan sudah 35 tahun

AMANAH 3 tahun tapi perjuangan sudah 35 tahun

Pada Sabtu, 22 September 2018, acara sambutan hari ulang tahun ketiga penubuhan Parti Amanah Negara diadakan di Temerloh, Pahang. Tarikh penubuhan AMANAH adalah pada Hari Malaysia ke-52 iaitu 16 September 2015.

Dalam sejarah AMANAH yang pendek ini, tarikh paling bermakna tentunya kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Sebagai anggota Pakatan Harapan, AMANAH turut menjadi parti kerajaan walaupun PRU itu adalah yang pertama disertainya.

Semasa hari raya lalu, penyokong-penyokong Pakatan Harapan masih daam suasana gembira. Dalam satu majlis hari raya anjuran akhbar rasmi parti, Mingguan AMANAH, ada seorang aktivis menyatakan kepada penulis, kemenangan itu mengkagumkan bagi parti yang baru berusia dua tahun.

Bagaimanapun, penulis meredakan kekagumannya dengan mengatakan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia lebih muda setahun daripada AMANAH tetapi bukan saja juga menjadi kerajaan Harapan tetapi pemimpin mereka adalah Perdana Menteri.

Selanjutnya penulis mengingatkan bahawa walaupun AMANAH ditubuhkan pada tahun 2015, perjuangannya adalah jauh lebih lama dartipada tahun itu.

Maknanya, kemenangan Harapan yang membawa bersama AMANAH untuk menjadi kerajaan adalah kemuncak perjuangan yang penuh pahit getir.

Dikira bilakah bermulanya perjuangan AMANAH sebelum parti itu ditubuhkan? Fahaman politik yang diperjuangkan oleh AMANAH adalah Islam. AMANAH adalah sebuah parti politik berdasarkan Islam, sekali gus ia merupakan sebahagian daripada gerakan Islam.

Kalau hendak dikirakan bermulanya perjuangan politik kepartian Islam di tanahair, tentulah ia dikira bermula daripada penubuhan Hizbul Musliin pimpinan Ustaz Abu Bakar Bakir, kemudian diteruskan oleh Parti Islam Se-Tanah Melayu (PMIP) yang kini menjadi Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Para pemimpin AMANAH pada keseluruhannya adalah juga bekas aktivis Pas Mereka menyertai Pas pada tahun-tahun berbeza, tetapi umumnya, mereka menyertai Pas pada sekitar tahun iewat 1970-an dan awal 1980-an, ketika gelombang kebangkitan Islam, yang ditandai dengan Revolusi Iran. Namun fahaman politik yang mereka pegang berbeza dengan Pas pimpinan Datuk Asri Muda.

Fahaman politik perjuangan Islam mereka hanya terungkap dengan gagasan Kepimpinan Ulama dengan gerakannya berjaya meraih pucuk kepimpinan Pas pada tahun 1983.

Maka bagi memudahkan perkiraan perjuangan ini, ia boleh ditetapkan sebagai bermula daripada Yusof Rawa menjadi Yang Dipertua Pas bagi menggantikan Datuk Asri.

Pada masa itu, Mohamad Sabu adalah aktivis Dewan Pemuda Pas yang lantang memperjuangkan perubahan kepada parti.

Beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 dan Pas pada tahun 1981.

Maknanya, perjuangan politik Islam beliau adalah lebih awal lagi. Tetapi perjuangan yang dikirakan mengungkap suatu fahaman politik boleh dikira apabila Yusof menerajui Pas pada tahun 1983.

Pejuang-pejuang ini aktif sebagai pembangkang hinggalah akhirnya mereka berjaya menjadi kerajaan persekutuan, bukan melalui Pas tetapi AMANAH dalam Pakatan Harapan.

Sememangnya Perdana Menteri bukan datang daripada AMANAH. Parti ini juga tidak dominan. Malah saiznya juga jauh lebih kecil daripada Pas. Tetapi penyertaannya dalam kabinet melalui Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri sudah cukup menunjukkan peranan besar AMANAH dalam kerajaan.

Paling bermakna ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof adalah anak Yusof Rawa yang mengemudi Pas keluar daripada era nasionalisme Islam Datuk Asri kepada fahaman universalisme Islam yang terkandung dalam semangat Gagasan Kepimpinan Ulama.

Lebih bermakna lagi apabila gagasan Islam yang dibawa oleh Mujahid dan AMANAH ialah Rahmatan Lil Alamin, yang kini diterima sebagai dasar kerajaan Harapan berhubung dengan agama Islam.

Peranan AMANAH terhadap Harapan adalah besar. Sebelum tertubuhnya AMANAH, perintis-perintisnya menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang kemudian berubah menjadi AMANAH. Sebaik saja tertubuh AMANAH, Pakatan Harapan juga muncul di atas runtuhan Pakatan Rakyat.

Kepimpinan Mohamad Sabu yang memberi sumbangan besar kepada penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu ke dalam Harapan adalah juga berperanan memudahkan rundingan dalam Majlis Presiden berhubung dengan pembahagian kerusi PRU ke-14.

Walaupun aktivis AMANAH tidaklah sebanyak yang Pas miliki, tetapi pendukung parti yang ada telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya lalu itu.

Begitu juga, walaupun AMANAH tidak meraih kemenangan di Kelantan dan Terengganu, tetapi pada keseluruhannya kemenangan dalam PRU-4 itu adalah suatu yang besar.

Sambutan hari ulang tahun AMANAH yang diadakan di Temerloh adalah juga bermakna. Kawasan Parlimen Temerloh diwakili oleh Anuar Tahir, Setiausaha Agung AMANAH. Beliau adalah sosok politik yang unik dalam sejarah politik kontemporari negara. Bukan saja Anuar merupakan aktivis yang berusaha menubuhkan AMANAH tetapi beliau juga pada tahun 1998 bertanggungjawab mendaftarkan Parti Keadilan Nasional.

Sebelum menyertai Keadilan, beliau adalah Setiausaha Agung ABIM. Beliau kemudian menyertai Pas setelah keluar daripada Keadilan. Tetapi fahaman politik beliau adalah juga jelas. Anuar adalah sebahagian daripada generasi aktivis Islam awal tahun 1980-an.

Temerloh juga adalah tempat bersejarah. Daerah inilah yang menghasilkan pejuang-pejuang kemerdekaan aliran kiri dengan bergabung di bawah Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Bekas Yang Dipertua PKMM, Ishak Haji Muhaamd yang lebih dikenali sebagai Pak Sako pernah bertanding di sini melalui tiket Front Sosialis pada tahun 1959. Ketika itu, beliau adalah Pengerusi Parti Buruh Malaya. Beliau tewas di tangan calon Umno.

Walaupun Parti Rakyat cuba memenangi kawasan itu, mereka tetap gagal. Pas yang kemudian menggantikan Parti Rakyat untuk memenangi Temerloh juga gagal. Aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), Suhaimi Said yang beralih kepada Pas pernah juga bertanding di sini.

Semangat 46 juga gagal mengalahkan Umno. Hinggalah dalam PRU13, buat pertama kalinya Barisan Nasional dikalahkan oleh calon Pas mewakili Pakatan Rakyat.

Tetapi pada PRU ke-14, AMANAH yang hanya berusia dua tahun lebih mewakili Pakatan Harapan menewaskan kedua-dua calon Pas dan BN.

Penubuhan AMANAH juga disumbangkan oleh Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP). Fahaman asas MWP berbeza daripada AMANAH. MWP adalah sebuah parti kiri yang tidak aktif dan kebanyakan ahlinya adalah dari kalangan kaum India dan bukan Islam. Ada sesuatu yang ada pada aspirasi AMANAH membuatkan aktivis MWP menyerahkan partinya kepada mereka.

AMANAH adalah sebuah parti yang terbuka keahliannya kepada semua kaum dan anutan agama. Setiausaha Agung MWP, Gopalan K Papachan telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa pusat AMANAH.

MWP ditubuhkan pada tahun 1978 dengan perjuangan untuk membela para pekerja. Parti itu berusaha mewarisi perjuangan Parti Buruh Malaya yang terbubar pada tahun 1972. Perlu diingat juga bahawa Presiden AMANAH pernah menerajui Lujnah Buruh Pas.

Pengambilan MWP dilakukan apabila pemimpin-pemimpin AMANAH itu gagal mendaftar penubuhan Parti Progresif Islam.

Maka pada asasnya AMANAH adalah sebuah parti Islam dan banyak orang memandangnya sebagai pecahan daripada Pas.

Ketika dalam Pas, pemimpin-pemimpin AMANAH itu mendominasi keanggotaan Jawatankuasa Pusat parti itu dengan Mohamad Sabu sendiri pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Sebelum PRU14, ahli AMANAH paling banyak adalah di Kelantan. Namun AMANAH gagal bertapak di Kelantan dan Terengganu. Itulah cabaran besar bagi parti itu, kedudukannya di negeri itu akan menentukan sama ada perjuangan 35 tahun ini (dari 1983 sejak bermulanya Gagasan Kepimpinan Ulama) akan mencapai matlamatnya di tanah air.

—–
Zin, wartawan yang aktif pada awal 1980-an, pernah mengetuai akhbar Harakah, bekas editor kanan Utusan Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)