Amanah akan bersama ke Kedutaan AS bantah Trump

Amanah akan bersama ke Kedutaan AS bantah Trump

Parti Amanah Negara (Amanah) akan menyertai rakan-rakan Pakatan Harapan, NGO dan aktivis kemanusiaan untuk berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 3 Februari ini.

Himpunan yang dijangka bermula jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat itu bagi mengemukakan memorandum bantahan berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghentikan kemasukan warga asing dari tujuh negara Islam ke negara itu.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, Amanah memandang serius terhadap tindakan Trump yang disifatkan sebagai tidak bertamadun, tidak berperikemanusian dan tidak demokratik.

“Keangkuhan dan kesombongan yang ditunjukkan Donald Trump telah memadamkan pandangan selama ini yang melihat AS sebagai contoh negara demokratik dan liberal terbesar di dunia.

“Polisi baru Presiden AS ini sewajarnya ditolak oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Dua minggu selepas diisytihar sebagai presiden AS, Trump mengumumkan akan menyekat pelarian dan warga Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman dariapda masuk ke Amerika.

Justeru Anuar menyeru semua pimpinan, ahli dan penyokong Amanah di setiap peringkat untuk turun bersama-sama pada himpunan itu atas nama hak asasi dan kemanusiaan sejagat.

TAGS