Malaysia Dateline

AMANAH akan kaji semula MOU jika kleptokrat berkuasa dalam kerajaan

AMANAH menegaskan akan mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan jika puak kleptokrasi kembali berkuasa dalam kerajaan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, parti itu memperjuangkan sifat intergriti dan amanah dalam politik yang merupakan sifat penting kepada kebangkitan umat dan negara.

“AMANAH menyedari kemenangan calon-calonnya dan calon-calon PH pada PRU ke 14 adalah atas sebab rakyat menolak kleptokrasi dan sifat khianat dalam pentadbiran negara.

“Justeru AMANAH ingin menegaskan bahawa sekiranya golongan kleptokrat dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri, maka AMANAH akan mengesyorkan supaya PH mengkaji kembali keabsahan MoU yang telah ditandatangani.

“Bagi kami, kemungkinan golongan kleptokrasi kembali adalah hasil dari tindakan khianat politik melalui Langkah Sheraton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.