Malaysia Dateline

AMANAH akan kuat dengan kerjasama ukhwah yang mantap

AMANAH adalah parti yang inklusif akan menjadi parti yang kuat dengan kerjasama serta ukhwah yang mantap dan harus bergerak sepertimana sebelum kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum ke-14(PRU14) yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Hasan Bahrom ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen AMANAH Negeri Perlis di Kangar pada Ahad.

“Sejarah silam harus dilihat dan dijadikan iktibar dalam melangkah ke hadapan bagi meneroka kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kemenangan yang telah berjaya diraih harus dipertahankan kerana kemenangan tersebut bukan suatu usaha yang mudah.

“Berkat tolak ansur AMANAH dalam pengagihan kerusi sehingga tidak bertanding satu kerusi pun di Wilayah Persekutuan merupakan sejarah pengorbanan yang besar kepada kemenangan yang telah berjaya diraih, ” tegasnya.

Menurut beliau lagi, pengorbanan AMANAH tersebut adalah bagi memastikan kemenangan menjadi realiti dan terbukti ianya menjadi kenyataan.

Katanya, AMANAH kini dianggotai oleh pelbagai golongan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum.

“Pertahankan kemenangan dan cari jalan bagaimana hendak mengisi kekosongan yang ada.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kita sebagai kerajaan dan masih jauh masa untuk bergerak dan berjalan.

“Ruang dan peluang yang ada mesti digunakan untuk mengisi kekosongan dengan kemenangan, ” ujarnya.

Tambahnya, kemenangan yang dikecapi sekiranya tidak dijaga dan dipelihara sudah pasti semua nikmat yang diperolehi akan hilang.

Beliau juga berkata, AMANAH akan menjadi parti yang kuat bagi membina satu masa depan yang lebih baik dan cemerlang

“Kita juga mahu mereka yang hidup dalam keadaan kepelbagaian kaum dan adanya partisipasi dalam negara ini,

“AMANAH Negeri Perlis khususnya diharapkan dapat kukuhkan ikatan bukan sahaja dikalangan ahli AMANAH, tetapi juga PH yang terdiri dari komponen yang ada.

“Tinggalkan segala kecelaruan dan beri kerjasama yang baik dengan menunaikan tanggungjawab secara bersama, maka PH akan dilihat oleh rakyat sebagai sebuah parti politik yang mantap dan dapat bekerjasama antara satu sama lain, ” tambah beliau lagi.

Ia juga berkata. dalam PH apa jua keputusan diputuskan secara bersama melalui konsensus.

Tegas beliau, gandingan antara keempat-empat parti dalam PH perlu dijalinkan dengan rapat dan mantap bagi menghadapi cabaran yang lebih sukar dimasa hadapan.

Sejajar dengan itu katanya,pimpinan hari ini akan dipertanggunjawabkan bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya lagi, kemenangan bagi negeri Perlis pada tahun 2022 yang akan datang merupakan suatu harapan yang amat ttinggi untuk direalisasikan menjadi suatu kenyataan.