Malaysia Dateline

AMANAH akan saring sendiri calon PRU14

Parti AMANAH Negara (AMANAH) amat menekankan integriti calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan akan menyaring sendiri calon mereka.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata, tanpa menghantar nama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun, badan itu boleh meneliti rekod mana-mana calon sama ada bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa atau sebaliknya.

“Itu (hantar nama calon kepada SPRM) boleh kita buat tapi kalau kita tak hantar pun SPRM boleh scan nama itu. AMANAH tidaklah mengganggap ini satu perkara yang besar.

“Ia satu cadangan yang baik tapi kalau tak hantar pun SPRM masih boleh memberikan komen mereka terhadap calon kami.

“Saya sendiri sudah sebut banyak kali AMANAH amat teliti dalam memilih calon kali ini dan nama kami pun AMANAH yang bermaksud integriti. Jadi kami mesti menjaga sial ontegriti calon,” katanya pada sidang media di Wisma AMANAH Negara semalam.

Beliau mengulas pelawaan SPRM kepada mana-mana parti politik untuk menghantar senarai nama calon PRU14 untuk disaring walaupun tiada undang-undang untuk parti berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, saringan dibuat bagi memastikan semua calon “bersih” dan tidak terlibat dengan salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebelum ini Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak melihat keperluan bagi PH menyerahkan senarai calonnya kepada SPRM kerana mereka mampu membuat saringan sendiri.

“Dalam senarai BN, mereka (BN) sendiri ada masalah, jadi mereka (calon) perlu melalui proses saringan.

“Sudah tentu kita ada sistem saringan kita sendiri, (dan) sekiranya perlu, sudah tentu kami akan hantar kepada SPRM,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PKR minggu lalu.