AMANAH akan terus berperanan pastikan nasib rakyat Pulau Pinang terbela

AMANAH akan terus berperanan pastikan nasib rakyat Pulau Pinang terbela

Walaupun kewujudan AMANAH adalah dalam waktu yang singkat, ia telah berjaya berkongsi kuasa bersama-sama dengan komponen yang lain demi membela nasib rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika berucap pada majlis Konvensyen AMANAH Pulau Pinang kali ke-3 di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas, semalam.

Malah katanya lagi, secara rasmi AMANAH Pulau Pinang telah pun mempunyai sebanyak 34 cawangan dengan keahlian seramai 4,000 orang setakat ini.

“Selama tiga tahun AMANAH Pulau Pinang tetap berkembang dan mendapat sokongan masyarakat.

“Sehubungan itu sebelas kawasan Parlimen telah pun berdaftar manakala dua lagi sudah pun mempunyai ‘protem comittee’.

“Sejak AMANAH ditubuhkan ia telah berjaya mengisi ruang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk sama-sama memastikan pelbagai masalah rakyat dapat diatasi,” tegasnya lagi.

Ujar beliau lagi, pelbagai halangan yang dilalui telah berjaya meletakkan AMANAH sebagai salah sebuah komponen dalam kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat.

“Kini gandingan yang ada bersama-sama dengan kerajaan negeri AMANAH mempunyai peranan yang amat besar apabila diberikan tanggungjawab bersama-sama dalam beberapa GLC kerajaan negeri.

“AMANAH diberi kepercayaan apabila mewakili Majlis Perbandaran Seberang Perai dan juga Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

“Manakala dalam Zakat negeri juga AMANAH turut diberi mandat untuk diwakili oleh dua wakil parti,” jelasnya lagi.

Mujahid juga berkata AMANAH turut diberi tanggungjawab untuk mewakili GLC yang lain seperti Penang International Halal Hub dan juga Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

Tambah beliau lagi, selain itu kepercayaan turut diberikan apabila wakil AMANAH juga dilantik dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta Penyelaras bagi Dun Sungei Dua.

“Kita begitu yakin bahawa statistik ini membuktikan komitmen AMANAH bersama-sama untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

“Adalah diharapkan bagi Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Tasek Gelugor akan diwujudkan satu lagi jawatan Pegawai Penyelaras Parlimen bagi AMANAH.

“Pegawai Penerangan kerajaan negeri turut diwakili oleh AMANAH bagi memastikan segala program kebajikan kerajaan negeri dapat disalurkan semaksima mungkin kepada masyarakat,” katanya lagi.