Malaysia Dateline

AMANAH akan terus kukuh keakraban PH

AMANAH akan terus mengukuhkan keakraban hubungannya dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk membina satu gabungan pembangkang yang kuat, kata Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli.

Beliau berkata, biarpun AMANAH berdiri sebagai pembangkang selepas setahun menjadi kerajaan, ia tidak seharusnya melunturkan tekad parti itu untuk terus mengisi keperluan politik negara.

Malah katanya, ini merupakan cabaran untuk ahli AMANAH membawa kesegaran politik yang mampu menarik perhatian lebih ramai ahli.

“Dua kali meraikan Konvensyen dalam keadaan berkerajaan, kita kembali sebagai pembangkang. Walaupun begitu, tekad kita tak patut luntur, malah perlu tanam azam untuk bangkit semula.

“Parti ini telah mengharungi pelbagai cabaran, ada juga menguji ketahanan dan kesabaran. Dengan keahlian lebih 150,000 dalam tempoh lima tahun, kita rasa AMANAH telah mengisi keperluan politik arus negara.

“Mood rakyat semakin jemu dengan politik. Ini cabaran penting untuk kita membawa kesegaran politik demi menarik perhatian anak muda terutamanya,” katanya ketika berucap di Konvensyen AMANAH Nasional di Bayu Lagoon Park, Bukit Katil hari ini.

Sementara itu Hatta mengingatkan AMANAH masih memerlukan proses pembangunan ahli yang mantap agar parti itu lebih bersiap siaga menerima lebih ramai ahli.

Tambahnya, selaras dengan tekad mengukuhkan perlembagaan parti, AMANAH akan membawa beberapa usul untuk menjadikan parti itu lebih mantap, mudah difahami, dan praktikal untuk pembangunan ahli.

“Berilah masa untuk setiap ahli dan kepimpinan berlatih, membina kemampuan pentadbiran dan memanfaatkan segala sumber yang untuk kita menjayakan parti kita.

“Paling utama, kita akan terus kukuhkan keakraban dan hubungan kita dengan kepimpinan PH. Ini bukan sahaja untuk mengembalikan mandat tapi supaya PH terus berjaya di masa depan,” katanya lagi.