AMANAH alu-alukan kemasukan ahli Pas, Umno dan pengundi muda

AMANAH alu-alukan kemasukan ahli Pas, Umno dan pengundi muda

Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam satu pemukiman yang diadakan baru-baru ini telah menetapkan untuk berkempen dan mengalu-alukan kemasukan ahli baharu ke dalam parti itu terutamanya daripada ahli Pas, Umn o dan pengundi muda.

Setiausaha Agungnya,  Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pada sesi pemukiman jawatankuasa tertinggi AMANAH itu beberapa ketetapan lain juga telah dicapai secara bersama.

“Mengkaji untuk mewujudkan satu badan pemantau bebas untuk memantau prestasi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik khususnya dari AMANAH.

“Menambah baik proses lantikan politik dengan memastikan keseimbangan antara profesional dan ahli politik tanpa menjejaskan merit dan kelayakan.

“Merancakkan kempen untuk mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baru ke dalam AMANAH terutamanya daripada ahli-ahli Pas, Umno dan pengundi muda.

“Membangun dan memperkemaskan program latihan dan pembangunan diri sama ada untuk ahli-ahli baru dan juga ahli-ahli sedia ada bagi memastikan ahli-ahli AMANAH faham dan komited mendukung matlamat perjuangan parti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, pemukiman tiga hari yang diadakan pada 2 sehingga 4 November lalu, bagi membincangkan beberapa perkara khususnya dalam usaha menguatkan lagi parti.

“Ia termasuk memperkemaskan aspek pengurusan parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hubungan parti dengan kerajaan serta hal ehwal keahlian parti,” ujarnya.

Timbalan Menteri Kerjaraya ini juga berkata, satu kajian lapangan telah dijalankan melibatkan 1,000 responden yang terdiri daripada ahli parti dari seluruh negeri, antara lain tujuannya untuk mendengar pandangan dari akar umbi dalam usaha menambah baik perjalanan parti pasca PRU14.