Amanah alu-alukan penubuhan Bersatu, bantu kukuhkan pembangkang

Amanah alu-alukan penubuhan Bersatu, bantu kukuhkan pembangkang

Parti Amanah Negara (Amanah) mengalu-alukan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang dalam proses mendapat kelulusan oleh Pertubuhan Malaysia (RoS).

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata,  Bersatu tidak akan membantutkan perkembangan Amanah sebaliknya ia membuktikan wujudnya ruang demokrasi dalam negara ini.

“Saya tidak anggap parti baharu ini akan menjadi saingan kepada Amanah sebaliknya kita meraikan proses demokrasi dan memberi ruang keapda rakyat untuk memilih.

“Apa yang penting parti baharu ini mempunyai iltizam untuk kerajaan yang lebih baik, bukan sekadar untuk berada di persada politik tanah air,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Isnin lalu bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi jawatankuasa protem Bersatu menghantar permohonan penubuhan parti baharu itu ke RoS.

Beliau berharap usaha untuk mendaftarkan parti baharu itu akan mendapat pertimbangan dan kelulusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anuar berkata, berdasarkan pengalaman beliau dan pimpinan lain dalam Amanah, permohonan untuk menubuhkan parti sudah pasti mempunyai cabaran yang tersendiri dan beliau berharap Muhyiddin dan pasukannya bersabar dan proses kelulusan dipercepat.

“Memang banyak cabaran dalam kita nak menubuhkan parti baharu dan banyak persediaan yang perlu dibuat termasuk untuk berhadapan dengan Ros.

“Saya berharap permohonan penubuhan parti Bersatu diluluskan demi merancakkan lagi pesta demokrasi dalam negara kita,” katanya.

Menurut beliau juga, Amanah bersedia bersama Bersatu dalam sebuah gabungan pembangkang baharu bagi memastikan Pakatan Harapan terus mantap dalam menyediakan sebuah kerajaan yang lebih bersih.

Perkara yang paling penting tegasnya, gabungan pembangkang baharu ini akan membela rakyat dan bersedia mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan melakukan reformasi terhadap segala dasar yang tidak menguntungkan rakyat.

“Pakatan Harapan harus dimantapkan dan kita harus bersedia menerima sama ada anggota baharu atau gabungan baharu atau rakan baharu secara rasmi atau secara tidak rasmi untuk menyertai gagasan rakyat.

“Ia untuk membela rakyat dan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang baharu, bersih, boleh memberikan keadilan dan memberhentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa dan melakukan reformasi terhadap undang-undang dan dasar yang kita rasa tidak menguntungkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bersatu bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan seluruh rakyat termasuk parti politik yang mempunyai hala tuju yang sama dengan penubuhan parti Bersatu itu.

“Kita sanggup bekerjasama dengan parti politik dan badan bukan kerajaan yang mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan sama.

“Bersatu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berstatus Melayu dan Bumiputera, orang Asli dan anak negeri Sabah, Sarawak seperti yang ditakrifkan dalam perlembagaan negeri dan negara,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)