Malaysia Dateline

AMANAH anjur kursus lahirkan kontraktor muda

Muhammad Faiz ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kursus Safety Induction Construction Workers (SICW).

Melihat kepada kepentingan jangka panjang dalam sektor ekonomi dan pembinaan, buat julung kalinya Biro Pekerja dan Pengguna (Pemuda AMANAH Nasional) telah menganjurkan satu kursus yang dinamakan Safety Induction Construction Workers (SICW).

Mensasarkan golongan anak muda AMANAH dari seluruh negara, kursus selama lapan jam berkaitan ilmu pembinaan itu diadakan di Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Camar Laut, Bagan Lalang, Sepang, pada Sabtu lalu.

Menurut Muhammad Faiz Fadzil yang bertindak sebagai penganjur program, kursus berkenaan dijalankan bertujuan melahirkan potensi atau bakat individu yang terdapat dalam kalangan ahli pemuda AMANAH, untuk menjadi kontraktor bidang pembinaan.

Muhammad Faiz yang sebelum ini pernah mempengerusikan Biro Pekerja dan Pengguna (Pemuda AMANAH Nasional) berkata, melahirkan potensi itu bukan sahaja merangkumi kepakaran politik dan ilmiah, tetapi juga dalam sektor ekonomi.

“Menerusi program ini, ia membolehkan kita memberi pendedahan kepada ahli-ahli AMANAH untuk menjadi ahli perniagaan. Saya juga melihat sektor pembinaan memainkan peranan penting dalam sumbangan kepada ekonomi negara.

“Lihat sahaja kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang bernilai antara empat ke lima peratus setahun. Ianya memberikan satu peluang perniagaan kepada rakyat Malaysia dan bagi kami di peringkat parti pula, kita boleh melihat kepada keperluan untuk melahirkan ahli-ahli yang berpotensi dalam dunia perniagaan tersebut.

Faiz yang sebelum ini pernah mempengerusikan Biro Pekerja dan Pengguna (Pemuda AMANAH Nasional), bergambar kenangan bersama peserta-peserta kursus.

“Sektor pembinaan ini mempunyai ‘multi player effect’ dalam ekonomi. Mereka boleh membuka syarikat, mencipta peluang pekerjaan, memberikan pendapatan kepada pekerja dan seterusnya memberikan sumbangan kepada masyarakat dan juga parti,” katanya secara eksklusif kepada Mingguan Amanah pada program itu.

Program tersebut dirasmikan oleh Mohd Yazsid Mohamad Raschid, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran adalah, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi dan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Azam Mektar.

Kursus berkenaan dibimbing oleh Jurulatih SICW daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kuala Lumpur, iaitu Aida Mastura Alias.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berpendapat, rungutan ahli-ahli yang berhasrat menceburkan diri dalam dunia perniagaan, perlulah diangkat sebagai agenda parti yang berkonsepkan inklusif dan progresif.

Justeru, Adun Permatang Pasir itu berkata, kursus anjuran beliau itu adalah peluang tersedia bagi anak-anak muda untuk terlibat dalam dunia perniagaan, seterusnya dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan juga negara satu hari nanti.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak-anak muda yang berjaya dalam sektor perniagaan ini sekali gus memajukan sesebuah negara dan membina bangsa yang hebat serta bertamadun.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) selalu menyebut, apa guna kita merdeka kalau kita menjadi kuli. Jadi, untuk mengelakkan perkara itu (menjadi kuli) dan perniagaan dimonopoli kuasa asing, kita perlu melahirkan anak bangsa kita sendiri yang menguasai sektor perniagaan,” ujar Muhammad Faiz yang juga merupakan Pengerusi LKIM.

Dengan penganjuran program berkenaan, Muhammad Faiz berharap, peserta-peserta yang menghadiri kursus itu akan mendaftarkan diri mereka dengan pihak CIDB, sekali gus menjadi kontraktor yang tulen, berjaya dari segi kualiti kerja dan juga dari sudut menjana pendapatan.

“Pendapat saya, program latihan sebegini perlu dipergiatkan dalam usaha untuk melahirkan potensi ahli-ahli AMANAH yang berkualiti daripada pelbagai sudut agar sumbangan kepada parti dan masyarakat dapat dioptimumkan,” katanya lagi.

Sementara itu, peserta program yang juga merupakan Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Sabah, Harieyadi Karmin, 32, berkata program sedemikian telah membuka ruang dan peluang kepada para pemuda untuk bergiat aktif membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor pembinaan.

“Secara tidak langsung ia juga memberikan faedah yang bermanfaat kepada parti AMANAH itu sendiri. Menariknya, program seperti ini mengkhususkan kepada orang muda yang saya kira adalah satu keputusan yang berpandangan jauh.

“Ahli pemuda yang sudah diberikan peluang untuk menjadi ahli awal projek perintis ini, perlulah memberi komitmen dan kesungguhan mereka selepas berakhir program ini.

“Saya juga berharap program yang amat baik anjuran YB Faiz ini akan dapat diteruskan lagi dan melahirkan lebih ramai pemuda AMANAH yang boleh menyumbangkan sesuatu kepada parti dan negara,” katanya.

Seorang lagi peserta, Hafizal Yusoff, 37, yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Gelang Patah, Johor, berpendapat kursus tersebut telah memberikan penerangan yang cukup jelas kepada peserta mengenai sektor pembinaan.

“Dalam kursus ini, jurulatih turut memberitahu tentang tanggungjawab kami untuk masuk ke tapak pembinaan termasuklah mengikuti prosedur yang betul bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Hasilnya, daripada ‘zero knowledge’, kini kami mempunyai ilmu yang betul sekali gus tidak mengamalkan budaya kerja yang salah,” katanya.