Malaysia Dateline

AMANAH bakal tampilkan calon muda di PRN Sarawak

AMANAH bakal menampilkan calon muda bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang termasuk di DUN Demak Laut, Kucing.

Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen berkata, pihaknya telah menghantar tiga senarai nama calon kepada pimpinan tertinggi AMANAH Nasional bagi diperhalusi dan diteliti dalam masa terdekat ini.

Katanya, ketiga-tiga bakal calon itu adalah terdiri daripada di kalangan anak muda serta merupakan orang tempatan.

“Setakat ini tiga nama bakal calon sudah ada dalam senarai dan akan dihantar ke peringkat pemimpin tertinggi AMANAH Nasional untuk diteliti.

“Apa pun, saya yakin ketiga-tiga bakal calon ini memiliki peluang yang cerah untuk memenangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Demak Laut pada PRN12 yang akan diadakan bila-bila masa nanti,” ujarnya.

Hud Andri berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatakuasa Cawangan AMANAH Demak Laut di Kuching hari ini.

Perjumpaan yang berlangsung di Pejabat AMANAH Negeri Sarawak itu turut dihadiri Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, Timbalan Pengerusi AMANAH Demak Laut, Mohd Zen Haji Peli dan Ketua Pemuda AMANAH Demak Laut, Iswandy Abdullah serta Ahli Jawatankuasa AMANAH Demak Laut.

Hud Andri menegaskan, AMANAH Sarawak juga telah menerima senarai nama bakal calon dari DUN yang ditandingi nanti.

Kata beliau lagi, senarai nama calon berkenaan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini atau selewat-lewatnya sebelum pilihan raya diadakan.

“Saya yakin calon yang diketengahkan ini adalah mereka yang amat berpontensi khususnya dalam memberi saingan sengit kepada calon pihak lawan kelak.

“Malah, kita juga yakin mampu meraih kerusi DUN Sarawak pada kali ini berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan sebelum ini,” tambah beliau.

Justeru, beliau menggesa supaya semua jentera di setiap DUN dapat diaktifkan dengan kadar segera selepas banyak program dan aktiviti terpaksa dibatalkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu kerana pandemik COVID-19.