Malaysia Dateline

AMANAH bakal tubuh beberapa cawangan, kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan

Parti Amanah Negara (AMANAH) kini dalam misi menubuhkan beberapa cawangan dan kawasan parti AMANAH di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Ahmad berkata, seramai 3 orang wakil pimpinan AMANAH Wilayah Persekutuan telah berada di Labuan sejak 26 Disember 2019 lalu dengan membawa misi untuk menubuhkan beberapa cawangan serta peringkat kawasan parti AMANAH di Labuan.

“Delegasi pimpinan Wilayah Persekutuan ini diketuai oleh Timbalan Pengerusi, Zaharuddin Othman dan disertai Setiausaha parti, Ahmad Zubair Wan Abd Rahim dan Penolong Setiausaha, Osman Md Idris.

“Antara objektif utama misi ke Labuan adalah bagi membentuk sebuah ‘pasukan petugas’ untuk melicinkan proses penubuhan parti AMANAH peringkat kawasan dan cawangan di sana.

“Pasukan petugas ini dibentuk daripada wakil-wakil pemegang taruh seramai 6 orang dan urusan penyelarasan dilakukan oleh wakil-wakil pimpinan AMANAH Wilayah Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, mesyuarat pasukan petugas yang diadakan kelmarin berjaya membuat konsensus bagi merancang mesyuarat penubuhan cawangan-cawangan yang diunjurkan pada 11 dan 12 Januari 2020 berdasarkan kepada surat arahan yang diterima dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ujarnya, Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Hatta Md Ramli akan mengetuai delegasi untuk merasmikan mesyuarat penubuhan cawangan-cawangan tersebut di samping akan mengadakan sesi dialog dengan ahli-ahli AMANAH Labuan.

“Misi kali ini merupakan usaha rekonsiliasi untuk menyegerakan penubuhan AMANAH peringkat cawangan dan kawasan di Labuan atas sebab teknikal yang terpaksa melalui proses penubuhan semula.

“Dengan adanya usaha penubuhan AMANAH di Labuan maka ianya merupakan salah satu daripada 2 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan yang dalam rangka penubuhan manakala 11 lagi AMANAH kawasan parlimen sudahpun tertubuh,” kata beliau.