Malaysia Dateline

AMANAH Bandar Tun Razak mohon PH pertimbang calon mereka

AMANAH Bandar Tun Razak memohon agar rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dapat mempertimbangkan untuk memberi laluan kepada parti itu meletakkan calon di Parlimen tersebut.

Ketuanya, Ir Hayatul Kamil Termudi berkata, hasrat AMANAH untuk bertanding mewakili PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu, adalah cadangan dengan hati yang terbuka untuk mengukuhkan lagi gabungan tiga parti di dalamnya.

Jelasnya, mereka juga sedia berkhidmat dengan mandat rakyat yang diberikan, selain mengambil kira pengkhianatan dua ahli Parlimen yang telah keluar meninggalkan parti sebelum ini.

“AMANAH komited untuk memperjuangkan kebajikan dan mandat rakyat di Parlimen ini. Hasrat ini tidak sesekali membelakangkan parti komponen Pakatan Harapan.

“Tidak ada istilah kerusi tradisi untuk dimonopoli ke atas sesebuah Parlimen.

“AMANAH (Bandar Tun Razak) mohon parti komponen PH mempertimbang serta memberikan laluan kepada AMANAH untuk bertanding di parlimen BTR,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun Hayatul berkata, keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan memuktamadkan berkenaan permohonan meletakkan calon itu akan tetap dipatuhi.

Pada 19 Julai, AMANAH Bandar Tun Razak mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi panas kawasan itu pada PRU-15 mewakili PH.

Hayatul Kamil berkata, hasrat tersebut susulan penyandangnya kini, Datuk Kamarudin Jaafar yang mewakili PKR telah melompat menyokong kerajaan Perikatan Nasioal (PN).

Untuk rekod pada PRU-14, Kamaruddin menang dengan 41,126 undi, menewaskan pencabarnya, calon Barisan Nasional (BN) Adnan Seman (21,196 undi); dan calon Pas Dr Rosni Adam (7,884 undi).